Muhyiddin bersama Zainal Abidin (tiga dari kanan) dan Mohd Zaidi (kanan) minum pagi bersama orang ramai di medan selera Pasar Awam Seberang Jaya ketika lawatan kerja sehari di Permatang Pauh.
Oleh Salman Hamat
salman@hmetro.com.my

Permatang Pauh: Turun sebagai status ‘underdog’ pada gelanggang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh, 7 Mei ini, ramai berani mengatakan Barisan Nasional (BN) akan tumbang mudah di tangan pembangkang.

Namun, Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, melihat kepada rekod beberapa PRK sebelum ini, tidak mustahil BN mampu merampas kerusi berkenaan.

Sebagai orang berpengalaman dan dilantik sebagai jeneral yang mengepalai beberapa PRK sebelum ini, Muhyiddin yakin BN mampu mencipta sejarah merampas kerusi Parlimen Permatang Pauh dengan syarat semua pihak bekerja sebagai satu pasukan.

Walaupun gagal merampas kerusi itu daripada pembangkang pada Pilihan Raya Umum (PRU-13) lalu, rekod menunjukkan BN berjaya meningkatkan sokongan pengundi di Parlimen Permatang Pauh kepada lebih 40 peratus.

“Saya akui situasi di Permatang Pauh umpama mendaki gunung iaitu sukar dan mencabar, berikutan itu semua pihak perlu berjuang bermati-matian serta bersungguh-sungguh. Tidak mustahil BN akan menang kerana tidak ada yang mustahil dalam politik.

“BN menang pada PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor, Kelantan dan Parlimen Teluk Intan, Perak walaupun ia dikatakan kubu kuat pembangkang dan semuanya adalah kerana jentera bekerja sebagai satu pasukan,” katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.

Sebelum itu, beliau menghadiri Mesyuarat Bersama Jawatankuasa BN, UMNO Permatang Pauh dan Jentera Pilihan Raya BN di Wisma Transformasi, Bangunan UMNO Permatang Pauh di sini.

Hadir sama, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Zainal Abidin Osman, Pengerusi BN negeri Teng Chang Yeow, Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh Datuk Mohd Zaidi Mohd Said dan Ahli Parlimen Kepala Batas Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Mengulas mengenai calon bakal dipilih mewakili BN pada PRK Parlimen Permatang Pauh, Muhyiddin berkata, pihaknya sudah menerima beberapa nama yang dicadangkan pemimpin peringkat bahagian.

“Kami akan putuskan hal itu tidak lama lagi dan antara perkara diambil kira untuk memilih calon adalah penerimaan penduduk tempatan terhadap individu berkenaan dan bebas daripada sebarang skandal.

“Calon paling baik adalah anak tempatan yang mampu melaksanakan tugas serta mempunyai rekod baik dan kami sudah melakukan perbincangan dan semua komponen tidak mempunyai sebarang masalah untuk membantu jentera pada PRK Parlimen Permatang Pauh,” katanya.

Beliau berkata, jentera BN sedia turun padang untuk memberikan penerangan kepada rakyat berhubung beberapa isu seperti pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta hubungan antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mungkin dijadikan modal oleh pembangkang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2015 @ 10:21 AM