Oleh Syah Rul Aswari Abdullah
srul@hmetro.com.my

Rompin: Peniaga yang menaikkan harga barang dengan memberi alasan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) disifatkan pensabotaj ekonomi negara, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.

Beliau berkata, GST yang menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) mampu menurunkan harga barang antara lima dan 10 peratus mengikut kategori barangan.

“Saya ambil contoh buah-buahan import sebelum ini ada cukai lima peratus mengikut SST tetapi sekarang tidak dikenakan cukai.

“Semua barang makanan tiada cukai selepas kita laksanakan GST, maksudnya harga sepatutnya semakin murah bukannya mahal sehingga menyusahkan pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penerangan Isu Semasa di Bangunan UMNO Bahagian Rompin di sini, semalam.

Ahmad turut memberi amaran kepada peniaga yang menaikkan harga sewenang-wenangnya susulan GST tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang.

“Mahkamah khas bagi membicarakan kes seumpama itu akan ditubuhkan dan kita lihat bagaimana nasib mereka nanti.

“Peniaga juga perlu mengamalkan etika perniagaan yang baik dengan tidak menjual barang mahal bagi mengelak mereka menerima kesan termasuk kehilangan pelanggan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2015 @ 10:14 AM