Oleh Mahaizura Abd Malik
mahaizura@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Malaysia mampu menjadi tumpuan hab pendidikan tinggi di rantau Asia jika mekanisme dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) - PPPM (PT) 2015-2025 dilaksanakan dengan teliti sejajar dengan perancangan penubuhannya.

Keyakinan itu dikongsikan Ahli Matematik terkemuka dari Oxford University Prof John Ockendon FRS yang menyifatkan kewujudan PPPM (PT) adalah tepat dan sesuai pada masanya untuk membawa Malaysia ke tahap lebih baik dalam pendidikan tinggi.

“Bagi saya objektif pelan tindakan ini adalah tepat dan sangat berpandangan jauh untuk masa depan Malaysia.

“Malaysia mampu mencapai hasrat seperti terkandung dalam pelan ini berdasarkan rekod yang ada, malah saya juga yakin pelan ini mampu meletakkan Malaysia lebih kuat sebagai titik tumpuan hab pendidikan tinggi di Asia pada masa akan datang.

“Namun, pelaksanaan mekanisme pelan itu memang memerlukan perancangan yang teliti selaras dengan hasrat berkenaan,” katanya.

Beliau yang juga berperanan penting dalam penubuhan program kerjasama Pusat Oxford-Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam Industri dan Gunaan Matematik pada 2012 memberikan pandangannya bahawa PPPM (PT) mampu mengisi beberapa kekurangan Malaysia seperti kurang menyediakan lebih banyak peluang dalam bidang Matematik kepada graduan.

“Dengan sistem sekarang, sukar untuk menggalakkan ahli Matematik lebih berpengetahuan dalam pelbagai bidang disiplin dan saya berharap tumpuan lebih perlu diberikan kepada lonjakan kedua ini pada masa depan.

“Saya berasakan kita perlu membuat satu usaha untuk menarik pelajar meminati bidang ini seperti belajar berkumpulan, latihan amali dan permodelan kem yang jelas terbukti memberi perubahan positif kepada sikap pelajar dan mereka boleh menggunakan pelbagai bakat yang ada untuk laluan kerjaya mereka selepas tamat belajar.

“Pelajar akan mudah memilih kerjaya dengan adanya interaksi Matematik antara dunia luar seperti yang sudah dilakukan Smith Institute dan Malaysia dalam program Rangkaian Penyelidikan Awam-Swasta (PPRN) seperti dinyatakan dalam pelan ini, mampu menarik minat pelajar,” katanya.

Menurutnya, kandungan dalam pelan ini seperti lonjakan kedua adalah penting untuk menghasilkan akademia yang mampu menarik minat pelajar menguasai bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“Selama 35 tahun dalam bidang ini, saya dan rakan seangkatan cuba menggalakkan ilmu ini dalam kalangan pelajar dan fakulti di seluruh negara.

“Contohnya di Australia, New Zealand, Kanada, Amerika Syarikat dan sebahagian besar Eropah dan Afrika Selatan tugas ini agak mudah berbanding di India, Brazil, Rusia dan Jepun kerana sistem mereka.

“Bagi saya pelan ini bertepatan dengan hasrat Malaysia membangunkan graduan seimbang termasuk bidang STEM yang akan menjadi asas terpenting dalam pembangunan perindustrian di negara pesat membangun,” katanya.

PPPM (PT) yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Selasa lalu, menggariskan 10 lonjakan yang diberi tumpuan kepada graduan holistik, berciri usahawan dan seimbang, kecemerlangan bakat, pembelajaran sepanjang hayat, memperkasakan pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET), kemampanan kewangan, urus tadbir, ekosistem inovasi, keunggulan global, pembelajaran dalam talian serta transformasi penyampaian pendidikan tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 April 2015 @ 6:05 AM