Oleh Norul Awatif Romli
awatifromli@hmetro.com.my

Alor Setar: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 18 tahun oleh Mahkamah Tinggi, di sini, semalam atas kesalahan menyebabkan kematian seorang remaja perempuan, dua tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Dr Choo Kah Sing menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap Mohd Firdaus Mohd Faridul, 20, selepas dia didapati bersalah membunuh Noor Syafikah Nadia Rusdi, 14, di Kampung Alor Senibong, Mukim Tajar, di sini.

Tertuduh yang hadir ke mahkamah dengan memakai kemeja-T dan seluar jean hitam kelihatan tenang sebaik hakim menjatuhkan hukuman berkenaan.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Firdaus didakwa dengan niat menyebabkan kecederaan tubuh badan yang mungkin menyebabkan kematian Noor Syafikah Nadia di kawasan bendang terbiar di Kampung Alor Senibong, Mukim Tajar, kira-kira jam 9.30 hingga 11.30 malam, 29 November 2013.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda.

Berdasarkan keterangan pada fakta kes dikemukakan pihak pendakwaan, hasil bedah siasat yang dijalankan menunjukkan mangsa meninggal dunia akibat lemas berikutan rongga mulut, saluran pernafasan dan rongga perut dipenuhi lumpur cair.

Selain itu, punca kematian mangsa juga boleh dikatakan berpunca daripada lemas kerana tiada bukti menunjukkan si mati dicekik pada leher atau cedera pada tengkorak dan otak.

Dr Choo dalam penghakimannya berkata, kesalahan itu dilakukan dengan niat berikutan terdapat tanda selain laporan bedah siasat mendapati mangsa menelan kira-kira 300 mililiter (ml) air lumpur.

“Laporan itu membuktikan mangsa tidak mati serta-merta, tapi dia dilemaskan dan itu boleh dikatakan si mati meninggal dunia dalam keadaan terseksa.

“Siasatan polis pula mendapati tertuduh sengaja membakar seluar yang dipakai mangsa pada hari kejadian bagi menghapuskan bukti selain cara kematian mangsa menunjukkan tertuduh ada kecenderungan menggunakan keganasan dalam menyebabkan kematian mangsa,” katanya.

Menurutnya, keterangan dikemukakan pihak pendakwaan mendapati tertuduh sengaja menolak muka mangsa ke dalam air lumpur bertujuan untuk melemaskannya.

Beliau menetapkan hukuman berkenaan berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditahan pada 15 Januari tahun lalu.

Mohd Firdaus sebelum ini menghadapi pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 akta sama yang jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

Bagaimanapun, pada 26 Mac lalu, tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304 (a) yang ditawarkan.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Salim Soib@Hamid dan tertuduh diwakili peguam Burhanudeen Abdul Wahid.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 April 2015 @ 10:52 AM