Alor Setar: “Allah SWT saja mengetahui perasaan kami kerana hingga kini, emosi saya dan isteri belum pulih sepenuhnya kerana terlalu merindui anak-anak,” kata Rusdi Rani, 40, bapa kepada tiga beradik yang dibunuh di Kampung Alor Senibong dan Kampung Padang Petani, Mukim Tajar, di sini, dua tahun lalu.

Rusdi berkata, dia tetap tidak berpuas hati dengan hukuman diterima lelaki berkenaan kerana sudah hilang tiga anak yang dibunuh dalam kejadian terbabit berikutan mereka sahaja penyeri keluarganya.

Menurutnya, dia bercadang mengadakan pertemuan dengan pegawai polis yang terbabit dengan penyiasatan kes pembunuhan tiga anak perempuannya bagi membincangkan keputusan berkenaan yang dianggap tidak adil berikutan suspek hanya dikenakan hukuman penjara 18 tahun di atas kesalahan menyebabkan kematian anaknya, Noor Syafikah Nadia, 14.

Katanya, hukuman dijatuhkan itu tidak setimpal dengan bebanan yang terpaksa ditanggungnya dan isteri, Siti Aishah Ariffin, 42, selepas kehilangan tiga anak tersayang.

“Mungkin sesiapa saja yang berada di tempat saya dan isteri akan beranggapan sama atau mereka mungkin sudah separuh gila apabila mendapat tahu pembunuh anak mereka masih hidup.

“Hukuman setimpal yang layak dengan pembunuh itu adalah hukuman gantung sampai mati atau dikenakan hukuman lebih berat kerana masa depan saya sudah gelap terutama isteri yang saban hari bersedih,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 April 2015 @ 10:52 AM