Oleh Rosyahaida Abdullah
rosyahaida@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Tiga strategi utama yang ditetapkan di bawah Lonjakan lapan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) (Pendidikan Tinggi) PPPM (PT) 2015-2025 mampu merealisasikan hasrat negara untuk menjadikan Malaysia destinasi pendidikan tinggi pilihan utama dunia.

Pelan yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kelmarin meletakkan peningkatan pengalaman positif pelajar antarabangsa, peningkatan keterlihatan jenama dan penarikan pasaran baru sebagai strategi di bawah lonjakan Kesohoran Global itu.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Dr Mohd Ismail Abd Aziz berkata, meningkatkan pengalaman positif pelajar antarabangsa boleh dilakukan dengan mewujudkan suasana selesa buat mereka ketika mengikuti pengajian di negara ini.

Menurutnya, seperti mana rakyat Australia yang begitu menghormati dan menghargai pelajar antarabangsa hinggakan sektor pendidikan negara itu menjadi tiga penyumbang teratas dalam ekonominya, Malaysia juga boleh berbuat sedemikian.

“Bagi usaha meningkatkan keterlihatan jenama pula, kedudukan universiti memainkan peranan penting dan di Malaysia, kita ada lima universiti penyelidikan (RU) yang dilihat mampu menaikkan bendera Malaysia ke kedudukan lebih baik.

“Kita juga perlu menarik pasaran baru misalnya dengan mewujudkan lebih banyak program akademik termasuk kos jangka pendek selain memperkukuhkan biasiswa Malaysia sebagai nilai tambah buat pelajar antarabangsa seperti Chevening Scholarships di United Kingdom,” katanya.

Dr Mohd Ismail berkata, penekanan kepada kesohoran di peringkat global menerusi lonjakan itu membuka peluang lebih luas buat negara memperkukuh kedudukan serta persepsi cendekiawan dunia terhadap kualiti pendidikan tinggi negara ini.

Jelas beliau, ia bukan sekadar menarik pelajar antarabangsa mendapatkan kelayakan akademik mereka di Malaysia, bahkan meningkatkan keyakinan pelajar tempatan untuk mengikuti pengajian tinggi di tanah air sendiri tanpa perlu ke luar negara.

“Apabila sudah terkenal pastinya lebih mudah menjalin kerjasama dengan universiti terkemuka dunia, malah pastinya berpeluang menjadi tuan rumah konvensyen pendidikan peringkat antarabangsa,” katanya.

Menurut Dr Mohd Ismail, kayu ukur kepada kejayaan lonjakan itu boleh dilihat apabila meningkatnya jumlah pelajar dan kakitangan akademik antarabangsa, program pertukaran yang lebih banyak serta tempoh kelulusan permohonan pas pelajar antarabangsa turun ke tahap paling minimum.

Mengulas mengenai PPPM (PT) secara keseluruhan, Dr Mohd Ismail menyifatkannya pelan lengkap pendidikan tinggi yang relevan dengan keperluan semasa dan akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2015 @ 11:46 AM