Najib melihat model perumahan PPA1M di Bukit Jalil, semalam.
Oleh Hairulazim Mahmud
azim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ibarat mendapat durian runtuh apabila 1,536 kakitangan awam bakal menduduki unit projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) berharga antara RM150,000 dan RM300,000 seunit sedangkan nilai pasaran rumah itu bernilai lebih RM600,000 seunit.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika melancarkan projek perumahan itu berkata, kakitangan kerajaan yang berjaya memiliki unit berkenaan amat beruntung kerana terdapat projek bersebelahan PPA1M di Bukit Jalil itu rumahnya berharga antara RM605,000 seunit dan RM728,000 seunit.

Beliau berkata, kerajaan amat prihatin dengan kehendak rakyat meliputi penjawat awam sendiri yang juga tulang belakang kepada pemerintah dalam menjayakan dasar serta agenda negara untuk kemakmuran serta kemajuan negara.

“Kerajaan tidak pernah lupa jasa dan pengorbanan yang diberikan kakitangan awam dan akan terus berusaha memastikan kebajikan dan keselesaan mereka sentiasa terpelihara,” kata beliau semasa majlis pelancaran dan sesi cabutan undi PPA1M Bukit Jalil, di sini, semalam.

Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan.

PPA1M projek pertama di bandar raya ini hasil inisiatif kerajaan bagi membantu penjawat awam berpendapatan rendah dan sederhana memiliki kediaman mampu milik dan berkualiti di kawasan bandar.

Kerajaan menyasarkan pembinaan 80,000 unit rumah di bawah Dasar Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) termasuk PPA1M bagi tempoh lima tahun atau menjelang 2020 iaitu 50,000 unit di Kuala Lumpur, Putrajaya (20,000 unit) dan Labuan (10,000 unit).

Najib berkata, setiap projek PPA1M yang dibina di bawah garis panduan ditetapkan kerana tertakluk kepada moratorium selama 10 tahun.

Kata beliau, ini bermakna setiap unit yang dibeli tidak boleh dijual kepada pihak lain sebelum tamat tempoh berkenaan.

“Ini bagi mengelakkan berlakunya spekulasi harga jika dibenarkan penjualan tanpa sebarang sekatan,” tegasnya.

Beliau berkata, keluasan rumah yang ditawarkan antara 1,000 kaki persegi (93 meter persegi) dan 1,434 kaki persegi (133 meter persegi).

“Syarat kelayakan pendapatan isi rumah ditingkatkan kepada RM10,000 sebulan untuk memberi peluang lebih ramai penjawat awam memiliki kediaman yang luas dan strategik,” katanya.

Dalam pada itu Najib berkata, bagi pelaksanaan PPA1M kerajaan bekerjasama dengan pemaju iaitu Tetuan Aset Kayamas Sdn Bhd membangunkan sebidang tanah yang strategik tanpa membabitkan kos kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2015 @ 10:18 AM