Kuala Lumpur: Remaja yang mempunyai masalah sosial lebih cenderung terpengaruh dengan fahaman kumpulan militan Negara Islam (IS) kerana menganggap penyertaan dalam kumpulan berkenaan adalah satu penyelesaian untuk menghapus dosa lampau.

Itu yang disimpulkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar selepas mendapati kumpulan militan IS menjadikan golongan remaja sebagai sasaran untuk menyertai kumpulan militan di Syria itu.

Dalam teks ucapannya pada Sambutan Ulang Tahun Kor Kadet Polis ke-45 Peringkat Kontinjen Kuala Lumpur, Khalid berkata, remaja yang bermasalah sama ada menghadapi konflik keluarga, masalah sosial atau personaliti pelajar itu sendiri lebih mudah terpengaruh dengan IS.

“Akibat hilang pedoman, mereka mencari jalan pintas dengan menyertai IS kononnya sebagai penghapus dosa lampau dengan jalan jihad.

“Kumpulan militan yang kononnya berjuang atas nama Islam ini mengekspoitasi media sosial dengan niat untuk mempengaruhi dan memesongkan akidah golongan muda,” katanya.

Menurutnya, risikan mendapati remaja mudah terpengaruh dengan propaganda IS melalui media sosial seperti blog, Facebook, Youtube dan Twitter seperti yang berlaku kepada remaja perempuan berusia 14 tahun yang ditahan pada 18 Februari lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ketika hendak berlepas ke Syria untuk menyertai kumpulan militan itu.

“Semua individu termasuk Kor Kadet Polis serta ibu bapa perlu memantau dan berhati-hati dengan mana-mana fahaman yang mengelirukan termasuk IS.

“Selain itu, golongan muda perlu berhati - hati dalam berkongsi maklumat yang diperoleh daripada media sosial berikutan wujudnya pengaruh pihak tertentu yang cuba mempengaruhi dan memesongkan golongan muda dari landasan hidup yang sebenar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2015 @ 10:12 AM