ABDUL Aziz bersama Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Jusni Ismail (kanan) menunjukkan peta P.044 Permatang Pauh, Pulau Pinang.
Oleh Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my

Putrajaya: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 7 Mei ini sebagai tarikh pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh (P.044) manakala, tarikh penamaan calon pula adalah pada 25 April.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, pengundian awal akan diadakan pada 3 Mei dan seramai 71,890 pemilih berdaftar membabitkan 71,252 adalah pemilih biasa; 627 pemilih awal dan 11 orang pengundi tidak hadir luar negara akan menjalankan tanggungjawab mereka.

Beliau berkata, daftar pemilih yang akan digunakan ialah Daftar Pemilih Induk (DPI) 2013 bagi bahagian pilihan raya berkenaan yang digabungkan sehingga Daftar Pemilih Tambahan Suku Ketiga Tahun 2014 dan dikemas kini sehingga 1 April 2015.

“Bagi melancarkan PRK berkenaan, kami akan menggunakan Dewan Perdana, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Bukit Mertajam sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi.

“Sebanyak 26 pusat mengundi akan dibuka bagi tujuan pengundian manakala, Dewan Gemilang Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah akan digunakan bagi pusat pengundian awal,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas membincangkan semua perkara berkaitan PRK berkenaan di sini semalam.

Kerusi Parlimen Permatang Pauh diumumkan kosong selepas penyandangnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen selepas Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan beliau.

Abdul Aziz berkata, sebanyak 25 buah sekolah akan digunakan sebagai pusat mengundi yang mempunyai 132 saluran tempat mengundi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2015 @ 9:54 AM