ABD Rahim (tengah) memeriksa peket heroin dan syabu yang dirampas dalam Ops Tapis.

Raub: Niat seorang lelaki mahu mengedar dadah jenis syabu dan heroin selepas mendapat bekalan daripada sindiket pengedaran terbantut apabila dia ditahan ketika cuba memboloskan diri daripada sekatan jalan raya di depan Bangunan Majlis Daerah Raub (MDR), di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 1 pagi itu, lelaki berusia 34 tahun berkenaan ditahan sepasukan anggota Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub yang mengadakan sekatan jalan raya.

Pemangku Ketua Polis Daerah Raub, Deputi Superintendan Abd Rahim Abd Razak berkata, polis menerima maklumat berhubung kegiatan haram lelaki berkenaan membawa dadah dalam perjalanan menghala ke Kuala Lipis dari Kuala Lumpur.

“Anggota polis yang mengekori mendapati suspek berhenti di tepi jalan dan cuba menunggang motosikal melawan arus dalam usaha memboloskan diri selepas melihat ada sekatan jalan raya sebelum polis sempat menahannya,” katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan IPD Raub, di sini, semalam.

Beliau berkata, anggota polis merampas beg sandang dibawa suspek sebelum menemui 50 peket plastik mengandungi serbuk dipercayai dadah jenis heroin seberat 109.3 gram bersama satu peket berisi ketulan kristal disyaki syabu seberat 13.15 gram.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2015 @ 7:34 AM