Melaka: Seorang tukang paip mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam terhadap tuduhan merogol gadis bawah umur, Mac lalu.

Tertuduh, S M Suresh, 21, membuat pengakuan itu selepas tuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di depan Hakim Ahmad Sazali Omar.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun 10 bulan di sebuah rumah di Taman Saujana, Bukit Katil di sini, kira-kira jam 10 malam, 8 Mac lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Nurhafiza Haron tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili Ishak Kari merayu mahkamah membenarkannya dijamin kerana perlu menanggung ibu bapa serta adik yang masih bersekolah.

Ahmad Sazali kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Mei depan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2015 @ 10:34 AM