RANGKA motosikal yang dibuang dalam perigi oleh pencuri bagi melupuskan bukti.
Oleh Zaid Salim
am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Gali dan tanam. Begitulah taktik baru yang digunakan pencuri motosikal di negeri ini bagi melupus bukti sebaik selesai menanggalkan kenderaan terbabit.

Taktik menanam rangka kenderaan itu dipercayai digunakan mereka kerana beranggapan tindakan berkenaan selamat selain sukar dikesan polis.

Penjenayah yang dipercayai bergerak secara individu dan berkumpulan membabitkan dua atau tiga ahli itu dikatakan menanam rangka motosikal yang dicuri sebaik semua komponen kenderaan terbabit dileraikan.

Berdasarkan siasatan dijalankan sebelum ini, polis percaya kegiatan itu dilakukan sama ada secara bersendirian atau kumpulan kecil membabitkan remaja berusia 17 hingga 20 tahun.

Selain menguburkan bahan bukti, mereka yang terbabit juga dikatakan membuang rangka kenderaan berkenaan ke dalam perigi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata, taktik itu dipercayai menjadi modus operandi baru bagi pelaku jenayah terbabit kerana yakin tindakan berkenaan tidak mudah untuk dikesan.

Beliau berkata, sebelum ini mereka yang melakukan jenayah itu akan meleraikan komponen kenderaan yang dicuri untuk dijual atau digunakan sendiri manakala rangka kenderaan terbabit dibuang ke dalam sungai atau semak.

“Oleh kerana taktik ini dikatakan tidak lagi selamat, mereka menukar modus operandi dengan menanam rangka kenderaan di satu kawasan yang sukar dikesan selain membuang ke dalam perigi bagi tujuan menghapuskan bukti.

“Taktik terbaru ini dikesan selepas polis menahan seorang suspek yang dipercayai terbabit dengan kegiatan curi motosikal di Setiu, tahun lalu, dan kita terpaksa menggunakan jentera untuk menggali bagi mengeluarkan rangka motosikal berkenaan,” katanya ketika mengulas kes membabitkan kecurian motosikal yang semakin berleluasa di negeri ini.

Katanya, indeks jenayah negeri meningkat adalah disebabkan kes curi motosikal dengan Kemaman menjadi daerah paling tinggi membabitkan jenayah berkenaan disusuli Besut dan Dungun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2015 @ 10:22 AM
Skip this ad x