Hishammuddin berbual dengan peserta Bengkel Interaksi Ketenteraan Awam.

Port Dickson: Kementerian Pertahanan khususnya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam usaha membawa pulang rakyat Malaysia di Yaman yang kini semakin bergolak.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengarahkan rakyat Malaysia termasuk pelajar segera dibawa pulang berikutan keadaan di negara itu yang membimbangkan.

Difahamkan, ada 879 rakyat Malaysia di negara itu.

Beliau berkata, MKN sedang melaksanakan proses membawa keluar rakyat Malaysia dari negara itu sebelum dibawa pulang ke negara ini.

“Jangan ambil mudah apa yang berlaku sekarang di Yaman dan saya juga pantau secara dekat. Apa yang penting Perdana Menteri memberi jaminan kami (kerajaan) buat apa saja memastikan rakyat dan pelajar kita selamat.

“Saya berharap dan merayu rakyat dan pelajar kita yang berdaftar dan tidak berdaftar di Yaman berilah kerjasama kepada usaha kami ini kerana keadaan di sana membimbangkan,” katanya yang mendedahkan ada rakyat Malaysia enggan keluar dari negara berkenaan.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pembukaan Bengkel Interaksi Ketenteraan Awam 2015 di Pusat Pengaman Malaysia (PPM) di sini, semalam.

Hadir sama Panglima ATM Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Bengkel itu disertai 32 peserta dari 17 negara luar termasuk 10 negara Asia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2015 @ 10:20 AM