KEADAAN rumah yang dihuni Badariah bersama tujuh anaknya.

Kuala Pilah: “Setiap kali angin kuat dan ribut, kami sekeluarga bimbang bumbung rumah akan tercabut. Tambah pula, dinding rumah sudah reput dimakan anai-anai,” kata Badariah Ujang, 36, yang hidup daif bersama suami dan tujuh anak yang masih kecil.

Menurutnya, rumah milik ibu saudaranya yang sudah berusia lebih 40 tahun itu didiami mereka sejak sembilan tahun lalu.

Katanya, suaminya, Jalal Samsudin, 42, hanya bekerja sebagai buruh dengan pendapatan RM600 sebulan untuk menyara dia dan tujuh anak berusia antara empat bulan hingga 12 tahun.

“Pendapatan diperoleh suami tidak cukup untuk menanggung kami sembilan beranak, tambah pula anak-anak masih kecil dan empat daripadanya belajar di prasekolah, tahun tiga, lima dan enam.

“Mujur pihak sekolah memberi bantuan termasuk Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) sekurang-kurangnya dapat menampung perbelanjaan persekolahan mereka,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Menurutnya, dia turut menerima bantuan Baitulmal RM200 sebulan yang dapat membantu suami menampung perbelanjaan harian keluarga.

Katanya, suaminya juga pernah memohon rumah melalui Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) pada 2011.

“Permohonan kami diluluskan kerajaan negeri tetapi malangnya kami tidak mampu untuk pergi menandatangani borang pengesahan menerima bantuan PPRT di Wisma Negeri di Seremban kerana ketika itu saya baru melahirkan anak keempat.

“Tambah pula, kami tidak mempunyai telefon bimbit untuk memaklumkan kesulitan itu dan suami tiada kenderaan untuk ke sana. Akhirnya, kami terpaksa reda melepaskan peluang itu,” katanya.

Katanya, dia berharap dapat membuat semula permohonan rumah PPRT dan sudah menyuarakan hasratnya kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Bemban untuk bantuan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2015 @ 7:15 AM