ANGGOTA bomba memeriksa tempat kejadian untuk proses memotong dahan.
KEADAAN kereta yang remuk teruk dihempap pokok, semalam.
Oleh Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Hujan lebat petang semalam menyebabkan tiga pokok di Taman Sri Sentosa, Jalan Klang Lama, di sini, tumbang dan menghempap 18 kereta dan sebuah lori.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, struktur tanah yang tidak stabil akibat hujan menyebabkan ia merekah sehingga pokok itu tumbang.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata, pihaknya menerima menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 3.43 petang dan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seputeh bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, sebaik tiba, pihaknya mendapati tiga pokok yang tumbang menghempap 18 buah kereta dan sebuah lori.

“Bagaimanapun ketika kejadian tiada mangsa yang berada di dalam kereta dan operasi mengalihkan pokok tumbang itu dilakukan lebih sejam.

“Selain itu, kita turut menerima aduan kejadian pokok tumbang di Batu 6 1/2 Jalan Puchong berhampiran susur masuk ke Taman Angkasa menyebabkan sebuah kereta turut rosak dihempap pokok namun tiada mangsa.

“Kejadian pokok tumbang dan menghalang lalu lintas turut berlaku di Bukit Jalil namun tiada mangsa yang terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2015 @ 8:18 AM