Nilai: “Ibu sudah merancang untuk menyambut ulang tahun kelahiran bapa, malam tadi (kelmarin), dan dia sepatutnya tiba pada jam 5.30 petang.

“Namun, sehingga jam 6.30 petang, dia masih tidak menghubungi kami,” kata Tan Hon Liang, 35, anak lelaki mendiang Datuk Tan Huat Seang yang terkorban dalam nahas helikopter, kelmarin.

Tan berkata, bapanya mengikut Ahli Parlimen Rompin Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis ke majlis persandingan anak perempuan Perdana Menteri, Nooryana Najwa dan pasangannya, Daniyar Kessikbayev di Taman Tasik Sultan Abu Bakar, Pekan, Pahang, kelmarin.

Menurutnya, dia hanya mengetahui tragedi menimpa bapanya itu daripada adik ipar yang menghubunginya pada jam 6.30 petang, kelmarin, namun hanya disahkan pihak berkuasa kira-kira jam 8 malam.

“Saya sudah mendengar berita helikopter terhempas petang itu dan tidak menyangka bapa ada dalam helikopter berkenaan,” katanya ketika ditemui di Taman Peringatan Xiao En, di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2015 @ 7:51 AM