RAKAMAN video yang menjadi viral di media sosial.
Oleh Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang pengusaha butik pengantin merayu pengguna media sosial berhenti menyebarkan gambar MyKad miliknya yang kini menjadi viral di media sosial yang dikatakan mencalarkan maruahnya.

Penyebaran gambar MyKad tertera nama seorang lelaki berasal dari Perak, namun gambar persis seperti wanita itu dipercayai mula tersebar sejak seminggu lalu di laman sosial sehingga mengundang pelbagai reaksi.

Malah, orang ramai turut menyebarkan gambar pemilik MyKad berusia 30 tahun itu yang berpakaian wanita selain bertudung.

Difahamkan, dia adalah pengusaha butik pengantin selain mempunyai produk rambut keluarannya di Ipoh, Perak.

Tidak cukup dengan itu, ada yang mengutuk dan mengeji perbuatannya yang menyerupai wanita sedangkan hakikat dirinya adalah lelaki.

Dia yang tidak tahan menjadi bahan kutukan dan ejekan orang ramai turut tampil dalam satu klip video yang dimuat naik di laman sosial Facebook miliknya, semalam.

Melalui video berdurasi selama satu minit dan sembilan saat itu, dia yang dikenali sebagai Ayu turut merayu supaya orang ramai berhenti menyebarkan gambarnya dan MyKad miliknya.

“Saya tidak ganggu orang, kacau orang. Tolonglah jangan buat IC (MyKad) saya macam itu.

“Tolong jangan kata saya macam-macam. Saya merayu sangat. Saya hilang arah sejak saya nampak gambar-gambar dan IC saya dibuat macam itu,” katanya yang meluahkan perasaan di dalam video itu.

Tambahnya, rakan dan pelanggannya turut menghantar gambar itu kepadanya menyebabkan dia berasa malu.

“Apa salah saya dengan anda semua. Tolonglah jangan sebarkan gambar itu. Saya minta maaf,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2015 @ 7:46 AM