Dr Hilmi (tengah) berjalan kaki sejauh 3.4 kilometer untuk meninjau sendiri projek menaik taraf laluan pendaki di Taman Negara Pulau Pinang di Teluk Bahang, semalam.
Oleh Siti Sofia Md Nasir
am@hmetro.com.my

Balik Pulau: UMNO Pulau Pinang sedia bekerjasama bersama PAS negeri untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh yang dijangka diadakan dalam tempoh terdekat.

Ahli Parlimen Balik Pulau Datuk Seri Hilmi Yahaya berkata, UMNO negeri bersikap terbuka dan sentiasa menghormati pendirian parti Islam itu sebagai kawan serta pihak lawan.

“Kita tiada masalah untuk bekerja bersama PAS, sekiranya kita boleh beralah pada PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka tempoh hari, saya yakin PAS juga boleh memberi sokongan kepada kami di sini.

“Kita yakin untuk menang di PRK Parlimen Permatang Pauh, namun semuanya terpulang kepada pengundi dan kita akan melakukan yang terbaik ketika kempen nanti,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Persekitaran Lestari di Taman Negara Teluk Bahang, di sini, semalam.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengumumkan tarikh PRK Parlimen Permatang Pauh Rabu ini selepas mengadakan mesyuarat khas pada tarikh sama.

Kerusi Parlimen Permatang Pauh diumumkan kosong secara rasmi pada 16 Mac lalu selepas Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dikemukakan ahli keluarga penyandang kerusi Parlimen itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu, Hilmi yang juga Timbalan Menteri Kesihatan berkata, kementerian berusaha untuk mengecualikan 3,000 jenis ubatan daripada Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Selain itu, katanya, kementerian juga menimbangkan untuk mengecualikan perkhidmatan doktor pakar di hospital swasta daripada GST.

“Daripada 25,000 jenis ubatan serta peralatan hospital, kementerian berjaya mengecualikan 4,200 jenis ubatan daripada GST.

“Kementerian berharap rayuan kita untuk dua perkara ini dapat dipertimbangkan oleh Kementerian Kewangan serta Kastam Diraja Malaysia (KDRM),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2015 @ 7:24 AM