BERWUDUKLAH dengan menepati tatacara ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.
Oleh Mohd Shahrizal Nasir

Firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu dan kedua belah tangan kamu meliputi siku dan sapulah sebahagian daripada kepala kamu dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali...” (Surah al-Ma’idah, ayat 6)

Wuduk dalam bahasa Arab berasal daripada al-wada’ah yang membawa makna al-hasan iaitu kebaikan dan makna an-nazofah (kebersihan).

Daripada istilah ‘kebaikan’ dan ‘kebersihan’ ini dapat difahami bahawa pensyariatan wuduk membawa satu mesej penting dalam kehidupan kita sebagai Muslim yang perlu sentiasa melakukan kebaikan dan menjaga kebersihan zahir mahupun batin.

Imam Ahmad, Abu Dawud dan Ibnu Majah meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya: “Tidak ada solat bagi orang yang tidak berwuduk.”

Apabila kita memahami kepentingan wuduk dalam menentukan kualiti ibadat, khususnya solat, maka kita perlu semak semula cara kita berwuduk.

Adakah kita berwuduk dengan sempurna, kita menepati tatacara ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan melakukan perkara yang tidak menjejaskan kesempurnaan wuduk?

Daripada Humran bahawa Uthman RA meminta untuk berwuduk, kemudian beliau mencuci kedua tapak tangannya tiga kali, berkumur, memasukkan air ke dalam hidung dan mengeluarkannya.

Kemudian beliau membasuh wajahnya tiga kali, membasuh tangan kanannya hingga siku tiga kali, membasuh tangan kirinya hingga siku tiga kali. Kemudian beliau mengusap kepalanya, seterusnya beliau membasuh kaki kanannya hingga mata kaki tiga kali, begitu juga yang kiri.

Kemudian beliau berkata: “Aku telah melihat Rasulullah SAW berwuduk seperti wudukku ini.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Bercakap mengenai wuduk tidak memadai berdasarkan teori sahaja. Oleh itu, sebaik-baiknya kita mempelajari secara praktikal agar lebih jelas dan lebih faham.

Ajarlah anak cara wuduk yang betul kerana ia adalah ilmu asas yang sangat penting. Tunjuk kepada mereka cara wuduk yang betul secara praktikal.

Selain itu, antara perkara yang perlu diambil perhatian ialah berusaha untuk berwuduk dengan mengamalkan perkara sunat ketika wuduk.

Meskipun kita mengetahui anggota wajib ketika berwuduk, ada anggota lain yang sunat seperti berkumur.

Diriwayatkan oleh al-Bukhari bahawa Baginda berkumur-kumur serta memasukkan air ke hidung (serentak) dengan sebelah tangan dan melakukannya tiga kali.

Kita juga dilarang membazir air ketika berwuduk. Air perlu digunakan pada kadar sepatutnya. Jangan buka paip secara kuat hingga kadangkala mengganggu orang lain yang juga sedang berwuduk.

Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya: “Sesungguhnya akan ada dalam kalangan umat ini, satu kaum yang berlebih-lebihan dalam bersuci dan berdoa.” (Hadis riwayat Abu Dawud)

Berdoa selepas berwuduk juga adalah satu sunah Rasulullah SAW. Antara doa diriwayatkan Imam at-Tirmizi ialah: “Ya Allah, jadikanlah aku golongan orang yang bertaubat dan jadikanlah aku golongan orang yang membersihkan diri.”

Wuduk yang sempurna turut menjadi sebab terhapusnya dosa, sebagaimana hadis Rasulullah SAW: “Apabila seseorang hamba Muslim atau Mukmin berwuduk, maka setelah dia membasuh wajahnya, keluarlah daripada wajahnya segala dosa yang dilihat oleh kedua matanya melalui air atau bersama titisan air yang terakhir.

“Ketika membasuh kedua tangannya, keluarlah daripada kedua tangannya setiap dosa yang dilakukan oleh kedua tangannya bersama air atau bersama titisan air yang terakhir.

“Sewaktu dia membasuh kedua-dua belah kakinya, keluarlah daripada kedua-dua kakinya setiap dosa yang dilangkah oleh kedua-dua kakinya bersama air atau bersama air terakhir sehinggalah setelah dia selesai berwuduk, dia bersih daripada dosa-dosanya.” (Riwayat Muslim)

Ayuh kita perbaiki cara berwuduk dan pertingkatkan kualitinya. Kita amalkan wuduk yang sempurna agar pada hari kiamat nanti kita tergolong dalam kalangan umat yang anggotanya bercahaya disebabkan kesan wuduk sempurna.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya umatku akan dipanggil pada hari kiamat kelak dalam keadaan putih (pada dahi) dan bercahaya (pada anggota) kerana kesan wuduk. Maka sesiapa yang mampu melebarkan warna putihnya, maka lakukanlah.” (Riwayat al-Bukhari)

Penulis ialah pensyarah UniSZA

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2015 @ 5:31 AM