CHIK Omar menunjukkan dadah jenis Methamphetamine yang disorok dalam pelapik kusyen selepas sidang media rampasan dadah di Kompleks Kastam KLIA .

Sepang: Seorang wanita warga Pakistan dikesan cuba menyeludup masuk dadah dipercayai jenis Methamphetamine atau syabu seberat 6.064 kilogram (kg) bernilai RM1.15 juta dengan menyorokkannya dalam 25 pelapik kusyen.

Bagaimanapun, taktik itu berjaya dihidu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) ketika bagasi yang mengandungi pelapik kusyen melalui mesin pengimbas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menunjukkan imej mencurigakan.

Pengarah Kastam KLIA Datuk Chik Omar Chik Lim berkata, wanita didakwa suri rumah berusia 50 tahun itu masuk ke negara melalui penerbangan dari Lahore, Pakistan serta transit di Karachi seterusnya tiba di KLIA jam 11 pagi pada 29 Mac lalu.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut terhadap bagasi wanita terbabit mendapati 25 pelapik kusyen pelbagai corak dan warna ditemui di dalamnya.

“Hasil pemeriksaan mendapati 25 pelapik kusyen itu mengandungi serbuk kristal jernih putih dan apabila diuji ia positif Methamphetamine.

“Tenunan pelapik kusyen itu dijahit rapi dan teliti bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya di Kompleks Kastam KLIA di sini, semalam.

Chik Omar berkata, suspek ditahan reman selama tujuh hari mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati mandatori.

“Siasatan seterusnya menunjukkan suspek sudah empat kali memasuki negara ini termasuk tiga kali tahun lalu menggunakan pas pelancong,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya percaya kes berkenaan didalangi sindiket manakala wanita itu sebagai ‘keldai dadah’.

Dalam perkembangan lain, Chik Omar berkata, sepanjang Januari hingga 1 April lalu, JKDM KLIA mematahkan lapan kes cubaan menyeludup dadah ke negara ini dengan penahanan lima suspek membabitkan berat 45.182 kg bernilai RM8.58 juta.

“Pada tahun lalu, 33 kes dadah digagalkan dengan penahanan 24 suspek serta dadah seberat 347.464 kg bernilai RM62.2 juta.

“Pada 2013 pula, 60 kes dadah dipatahkan dengan penahanan 53 suspek membabitkan berat dadah 317.177 kg bernilai 46.54 juta,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 April 2015 @ 10:20 AM