JOHAN
Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my

Putrajaya: Tindakan semua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang bersetuju untuk menandatangani ikrar integriti akan membawa negara ke era politik baharu, kata Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) Tan Sri Johan Jaaffar.

Ini kerana, katanya, kajian Transparency International Global Corruption Barometer kebelakangan ini mendapati ahli politik dalam negara berada di tangga teratas dari segi persepsi negatif dan parti politik adalah satu daripada sektor paling banyak rasuah.

“Selaku anggota badan perundangan, langkah menandatangan ikrar integriti ini menggambarkan wakil rakyat dari Barisan Nasional (BN) mengambil pendekatan ‘walk the talk’ bagi sama-sama mewujudkan sebuah negara yang mengutamakan budaya berintegriti dan melahirkan persekitaran bebas rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa,” katanya dalam kenyataan, di sini, semalam.

Kelmarin, akhbar melaporkan semua Ahli Parlimen BN akan menandatangani ikrar integriti bagi mempertingkatkan budaya berintegriti dalam kalangan penggubal undang-undang negara.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) Tan Sri Shahrir Abdul Samad dipetik berkata, tindakan mereka sama sebagaimana dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN Sarawak.

Johan berkata, soal berintegriti khususnya dalam kalangan wakil rakyat menjadi bahan perbualan oleh rakyat yang ingin melihat mereka menjadi contoh dan teladan.

“Oleh itu, kami percaya langkah menandatangani ikrar integriti ini juga akan menjadi satu lagi lonjakan positif bagi memupuk nilai murni.

“PPPR melihat perkembangan terbaharu ini akan melengkapkan tindakan yang oleh Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak yang sudah menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya Transparency International Malaysia (TI-M) pada awal 2013 iaitu menjelang Pilihan Raya Umum ke-13,”katanya,

Sehubungan itu, katanya PPPR menyambut baik pengumuman Shahrir kelmarin bahawa Ahli Parlimen akan menandatangan ikrar integriti bagi mempertingkatkan budaya berintegriti dalam kalangan ahli politik.

“Kami sebagai badan bebas pemantau perjalanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), melihat langkah ini satu komitmen yang harus disambut baik oleh semua pihak.

“Pada masa sama, PPPR juga berharap setiap Ahli Parlimen membuat deklarasi aset kepada SPRM,”katanya.

Pada masa sama, Johan berkata, beliau berharap semua wakil rakyat BN di peringkat negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 April 2015 @ 9:59 AM