ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan ngeri membabitkan treler. Gambar kecil, dari kiri, Ahmad Fauzi, Ferdi dan Salamat.
Oleh Arifin Salleh
am@hmetro.com.my

Alor Gajah: “Saya minta ayah beristighfar dan mengucap kalimah syahadah selepas melihat nafasnya tersekat-sekat. Tubuh ayah kemudian semakin lemah dan tidak bergerak,” kata Zulhairi Salamat, yang kehilangan bapa, Salamat Nawar, 54, selepas lori dipandu terbabit kemalangan di Kilometer 221.3, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 5.15 pagi itu, turut terbunuh dalam kemalangan membabitkan dua lori dan sebuah treler ialah kelindan lori dipandu Salamat iaitu Ferdi Minune, 35, dan pemandu lori tiga tan, Ahmad Fauzi Morad, 46, manakala Zulhairi hanya cedera ringan.

Zulhairi, 22, berkata, bapanya rancak berbual dengan Ferdi sepanjang perjalanan dari Pasar Borong Selayang ke Kulai Jaya, manakala dia duduk di belakang tempat duduk pemandu.

“Sedang saya membalas khidmat pesanan ringkas (SMS) seorang rakan, saya dikejutkan dengan hentakan kuat diiringi dentuman hingga tercampak ke depan.

“Saya bernasib baik apabila dapat meloloskan dan melihat kelindan lori menghimpit tubuh saya sebelum kedengaran ayah mendengus kuat. Saya buka lampu dan mendapati hadapan lori remuk teruk dan menghimpit ayah bersama kelindan yang sudah tidak bergerak. Saya mendapatkan ayah dan mengajarnya mengucap kalimah syahadah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2015 @ 10:05 AM