ABDUL Latif menunjukkan buku 'Aku Masih Ingat' ketika majlis pelancaran buku di dewan Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru.
Oleh Amir Abd Hamid
amir@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Walaupun berada dalam kereta perisai tetapi saya dapat merasai sendiri dinding kereta kami ditembak bertalu-talu oleh militan Somalia dipercayai menggunakan mesingan RPG.

“Saya ketika itu bersama 100 tentera Malaysia diarah memberi bantuan bagi menyelamatkan tentera Amerika Syarikat yang terperangkap di kawasan musuh.

“Pertempuran sengit yang berlaku pada 3 dan 4 Oktober 1993 di Mogadishu, Somalia itu turut menyebabkan seorang tentera Malaysia Koperal Mat Aznan Awang dan sembilan yang lain cedera manakala 18 tentera Renjer Amerika Syarikat maut manakala 77 lagi cedera,” kata Brig Jen (B) Datuk Abd Latif Ahmad menceritakan pengalamannya ketika misi menyelamat yang dijalankan bersama Renjer Amerika Syarikat (AS) dan komando Delta Forces.

Di pihak militan Somalia pula, dianggarkan seramai 300 hingga 400 orang terbunuh manakala 700 hingga 800 orang cedera.

Abd Latif ketika itu berpangkat Kolonel mengetuai misi pengaman pasukan Batalion Malaysia 1 (MALBATT 1) sebagai komander kontinjen Malaysia di Mogadishu, Somalia.

Dalam kejadian 22 tahun lalu, sekumpulan askar AS terperangkap di kawasan musuh iaitu tentera militan Somalia selepas dua helikopter Black Hawk mereka ditembak jatuh di bandar Mogadishu.

Pasukan pengaman Malaysia bersama pasukan pengaman Pakistan dan AS yang menyertai operasi UNOSOM II di bawah PBB kemudian ditugaskan menyelamatkan kumpulan askar terbabit.

“Malah peristiwa itu turut dijadikan filem fiksyen bertajuk Black Hawk Down namun saya mengganggap filem itu hanya sekadar hiburan dari Hollywood. Ia bukan versi sebenar kejadian.

“Sebaliknya, fakta ialah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menyelamatkan tentera Amerika Syarikat (AS) termasuk mangsa dari helikopter Black Hawk yang ditembak jatuh militia Somalia.

“Saya kesal peranan tentera Malaysia semasa insiden itu yang menyaksikan militia Somalia menembak jatuh dua pesawat helikopter UH-60 Black Hawk langsung tidak ditonjolkan dalam filem Black Hawk Down yang diterbitkan pada 2001.

“Keberanian pasukan Batalion ke-19 Askar Melayu Diraja hampir tidak dipedulikan dan diremehkan dalam filem itu seolah-olah tentera Malaysia tidak memainkan peranan penting atau bukan sebahagian daripada misi,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran buku Aku Masih Ingat...Memoir Seorang Komander yang ditulis beliau.

Buku setebal 324 muka surat itu dijual di pasaran dengan harga RM50 dilancarkan oleh Pengerusi Institut Kajian Sejarah & Patriotisme Malaysia (IKSEP) Profesor Datuk Dr Mohd Jamil Mukmin.

Abd Latif berkata, ketika itu selama enam jam tanpa henti berlakunya peperangan sengit berterusan dalam sejarah ketenteraan Malaysia semenjak Perang Dunia Ke-2.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2015 @ 9:33 AM