Oleh Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Seorang buruh dijatuhi hukuman penjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam selepas mengaku salah mencuri beberapa batang besi bernilai RM200 milik seorang pengurus projek.

Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi membuat keputusan itu selepas Amir Kamaruddin Mohamad, 29, dari Taman Bakti, Jalan Gong Badak di sini, mengaku salah terhadap tuduhan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Mengikut tuduhan, tertuduh didakwa mencuri besi campur-campur jenis Y12 dan besi jenis R6 yang dimasukkan dalam guni di parkir bawah di Kampung Pusu Tiga Gong Badak, di sini.

Tertuduh mengaku mencuri harta milik Wan Mohd Rizal Wan Mohd Salleh, 35, kira-kira jam 7.15 malam, 26 Mac lalu.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan L Rathna.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, mangsa menghantar pekerjanya pulang ke rumah di Kampung Pusu Tiga, kira-kira jam 7.15 malam dan ternampak kelibat seorang lelaki tidak dikenali sedang mengisi beberapa batang besi campur-campur ke dalam guni.

Guni itu diletakkan dalam raga motosikal Honda Wave di bawah garaj dekat rumah pekerjanya.

Lelaki terbabit cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran mangsa tetapi berjaya ditahan dan diserahkan kepada polis.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2015 @ 9:09 AM