SEBUAH kapal diperiksa anggota PPM bagi mencegah penyeludupan rokok haram di perairan Pelabuhan Klang.
PEGAWAI Operasi dan Risikan PPM, Mohd Rudzuan Ahmad memeriksa bungkusan mengandungi rokok seludup.
Oleh Amir Abd Hamid dan Mohd Firdaus Ibrahim
am@hmetro.com.my

Pelabuhan Klang: Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang memperhebatkan operasi di kawasan pantai perairan di antara Kuala Bernam dan Kuala Sepang, dekat sini, yang dikenal pasti antara ‘laluan tikus’ kegemaran sindiket penyeludupan barang khususnya rokok dari negara jiran.

Malah, difahamkan sindiket penyeludupan rokok bukan saja menggunakan bot pancung yang dilengkapi enjin berkuasa tinggi, malah menggunakan modus operandi menyorokkan rokok seludup di dalam kargo rahsia sebelum dibawa masuk ke Malaysia.

Pegawai Pemerintah PPM Pelabuhan Klang Deputi Superintendan Ahmad Shafiki Hussain berkata, pihaknya mensasarkan sekurang-kurangnya sembilan kes tangkapan sebulan sejak Januari lalu.

“Bagaimanapun, kita sudah mencapai 35 kes tangkapan sehingga 27 Mac lalu berbanding 27 kes yang disasarkan. Ini disumbangkan oleh peningkatan mutu tugas yang dijalankan penuh tanggungjawab khususnya 2,090 anggota dan pegawai Markas Operasi Pasukan Polis Marin, Pelabuhan Klang.

“Perairan di Selangor sangat mencabar dan luas dengan jarak 104 batu nautika dari Kuala Bernam hingga Kuala Sepang membabitkan enam daerah serta 41 jeti awam dan ikan.

“Penyeludup khususnya dari Indonesia masuk (ke negara ini) dengan bot pancung dilengkapi enjin berkuasa tinggi terus menuju ke kuala di sekitar perairan Selangor dan masuk ke bandar berdekatan sehingga ke Sepang.

“Walaupun berdepan dengan situasi sukar terutama ketika air cetek sehingga membataskan bot kita masuk, namun polis ada kaedah tersendiri bagi menumpaskan penyeludup itu,”katanya ketika ditemui Harian Metro.

Beliau berkata, fokus utama pihaknya dalam operasi adalah untuk mengawal keselamatan dari ancaman dalaman dan luaran sama ada dari segi aspek penyeludupan barang kontraban, penyeludupan, militan selain memastikan bahawa kawalan perairan negara selamat daripada diceroboh anasir yang tidak diingini.

Menurutnya, penyeludupan rokok adalah isu yang besar kerana secara tak langsung menjejaskan ekonomi negara dan justeru polis berharap penyaluran daripada masyarakat terutama sekali yang berurusan di laut seperti nelayan untuk melumpuhkan sindiket berkenaan.

“Kita tak teragak-agak dan memberikan amaran sekeras-kerasnya kepada mana-mana pihak yang bersekongkol, kita akan pastikan mereka dikenakan tindakan sewajarnya mengikut undang-undang sedia ada di negara kita. Senario penyeludupan termasuk rokok ini akan mendatangkan satu musibah kepada negara,”katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi/Risik PPM Pelabuhan Klang Asisten Superintendan Mohd Rudzuan Ahmad berkata, aktiviti penyeludupan kebanyakan berlaku di sebelah malam iaitu selepas 12 tengah malam sehingga jam 6 pagi dan juga bergantung kepada pasang surut laut.

“Operasi yang kita jalankan setiap hari 24 jam. Arahan operasi contohnya Ops Tango Papa kita keluarkan kepada bot ronda yang terbabit selama tiga hari untuk menjalankan operasi di laut.

“Dalam tempoh itu, pasukan berkenaan akan menjalankan tanggungjawab di perairan Selangor dari Sabak Bernam sehingga ke Kuala Sepang,”katanya.

Sejak 2010 Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengambil inisiatif menyekat penjualan rokok seludup dengan membuat pemeriksaan ke atas premis yang disyaki menerusi Ops Outlet.

Setakat ini 39,442 premis diperiksa membabitkan rampasan RM81.96 juta selain seramai 6,095 orang yang disyaki terdiri daripada pemilik premis dan individu ditahan membabitkan 2,010 kes mahkamah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2015 @ 9:49 AM