LAW (tiga dari kiri) menunjukkan antara telefon pintar yang dirampas dalam serbuan di sebuah pusat beli-belah.
Oleh Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kaut untung dengan menipu. Itu dilakukan dua lelaki yang menjual pelbagai jenama telefon bimbit tiruan dengan harga sama seperti produk tulen.

Mangsa yang menjadi sasaran mereka terdiri daripada warga asing, pelajar, suri rumah, warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

Kegiatan sindiket itu tumpas apabila Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur dan JSJK Dang Wangi menyerbu dua stor di sebuah pusat beli-belah di Jalan Tun Tan Cheng Lock di sini, Jumaat lalu.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Law Hong Soon berkata, hasil serbuan pihaknya merampas 500 unit telefon bimbit pelbagai jenama bernilai RM120,000.

Menurutnya, operasi itu yang diketuai Deputi Superintendan Mazlan Hassan membuat intipan bersama pegawai dan anggota polis sebelum membuat serbuan jam 4 petang.

“Antara telefon bimbit tiruan yang dirampas ialah jenama Sony, Samsung, Oppo, Lenovo dan iPhone selain beberapa jenis aksesori,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur semalam.

Menurutnya, dua lelaki berusia 30 dan 34 turut ditahan dan mereka direman sehingga hari ini bagi membantu siasatan.

“Modus operandi dengan meysasarkan golongan tertentu sebelum memperdaya mereka.

“Bagaimanapun, selepas menggunakannya sebulan mangsa akhirnya mendapati dirinya ditipu apabila ia rosak dan tidak ada jaminan,” katanya

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan memastikan telefon bimbit dibeli menepati standard piawaian pihak Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2015 @ 9:44 AM