Oleh Rosyahaida Abdullah
rosyahaida@hmetro.com.my

Putrajaya: Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) (Pendidikan Tinggi) - PPPM (PT) 2015-2025 adalah perancangan menyeluruh dan penuh ketelitian diatur untuk sektor pendidikan tinggi negara yang mampu dicapai berbekalkan pelaksanaan efektif dan konsisten.

Demikian pandangan tiga pensyarah dari United Kingdom, Bosnia dan Ghana berhubung pelan bakal dilancar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 7 April ini.

Melihat PPPM (PT) tidak hanya memfokuskan keupayaan intelek, Pensyarah Pelawat Jabatan Bahasa Inggeris Universiti Malaya (UM) dari United Kingdom (UK), Dr Nicholas Pagan berkata, penekanan turut diberikan kepada keseimbangan rohani dan jasmani graduan.

Beliau juga mengakui tertarik dengan satu daripada lima aspirasi sistem iaitu akses.

Menurutnya, penting untuk setiap manusia terutama mereka yang kurang berkemampuan menikmati kesamarataan peluang dalam memperoleh ilmu hingga ke peringkat pengajian tinggi.

“Di Amerika Syarikat contohnya, pendapatan ibu bapa menjadi faktor menentukan anak mereka boleh mengikuti pengajian tinggi di sana, jadi saya kira akses ini istimewa kerana ia menjadikan pendidikan itu sesuatu yang tidak mustahil,” katanya.

Beliau menambah, menerusi pelan itu, perincian diharap dapat menyelesaikan cabaran utama masa kini di mana pensyarah bukan lagi menyebarkan fakta sebaliknya lebih kepada menjadikan pelajar boleh berfikir sendiri.

Bagi Pensyarah Pelawat Fakulti Seni dan Sains Sosial UM dari Bosnia, Dr Adis Duderija, PPPM (PT) adalah pelan seimbang, mendepani keperluan pendidikan tinggi masa kini dan akan datang serta mempunyai hala tuju tepat.

Jelasnya, selagi pelan itu mampu bertindak balas kepada keperluan pendidikan semasa, beliau yakin PPPM (PT) boleh menggandakan kualiti pendidikan sekarang serta modal insan yang bakal mengisi industri.

“Kita tidak tahu apa bentuk kerjaya yang akan wujud untuk generasi anak cucu kita menjelang 30 hingga 40 tahun lagi namun sudah tentu persediaan perlu dimulakan dari sekarang,” katanya.

Manakala Pensyarah Pelawat Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dari Ghana, Dr Abdul-Mumin Abdulai menyentuh mengenai fokus terhadap Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam PPPM (PT).

Beliau memberi contoh beberapa negara maju yang memacu ekonomi melalui golongan pertengahan khususnya pekerja mahir.

“Golongan pertengahan begitu penting kepada negara seperti Jerman misalnya. Justeru tumpuan kepada TVET sememangnya langkah yang mampu menyokong ekonomi Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2015 @ 9:29 AM