MENTERI Kewangan ll Datuk Seri Ahmad Husni Mohammad Hanadzlah (kiri) mengiringi Najib melakukan 'walkabout' di Kompleks Kastam Kelana Jaya bersama Khazali (dua dari kanan) dan Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Ahmad Maslan (kanan).

Petaling Jaya: Sebanyak 10 talian ‘Helpdesk GST’ disediakan di seluruh negara bagi memudahkan orang ramai mengemukakan pertanyaan dan mendapatkan maklum balas segera berkaitan sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Datuk Seri Khazali Ahmad berkata, talian itu penambahan kepada talian sedia ada seperti Hotline GST dan Customs Call Centre bagi meningkatkan kefahaman orang ramai berkaitan isu GST.

“Talian ini dibuka setiap hari jam 8 pagi hingga 10.30 malam. Setiap pertanyaan mengenai GST akan disambungkan terus kepada talian yang dikendalikan 10 pegawai bertugas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Set Panduan GST yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Kompleks Kastam Kelana Jaya di sini, semalam.

Selain Helpdesk GST, set panduan dilancarkan itu merangkumi TAP Handbook, Buku FAQ serta Video Mutimedia Panduan Mengemukakan Penyata dan Bayaran GST.

Menurut beliau, set panduan GST itu akan menjadi rujukan mengenai persoalan lazim berkaitan GST dan panduan kepada peniaga cara mengisi dan mengemukakan borang penyata cukai serta kaedah membuat bayaran.

“Panduan ini akan membantu peniaga bagaimana hendak mengemukakan penyata cukai dan tuntut input tax yang dibayar kepada kastam.

“Semua maklumat boleh didapati di www.gst.customs.gov.my,” katanya.

Sementara itu, Khazali memberi maklum balas pihaknya bersedia menghantar kakitangannya bagi menjawab setiap pertanyaan 80 aktivis yang melakukan tunjuk perasaan Isnin lalu yang menuntut 106 jawapan persoalan GST sebagai membantah pelaksanaan cukai itu.

“Daripada 106 soalan itu ada yang saya tidak jawab kerana kita hanya jawab berkaitan GST saja lagipun semua jawapan pasal GST ada dalam laman web kita.

“Kalau mereka nak juga jawapan daripada kastam, kita beri seminar atau ceramah, kita boleh buat dalam dewan tetapi mereka perlu mohon terlebih dulu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2015 @ 9:12 AM