Bangi: Pembayar cukai boleh mendapat bayaran balik cukai terlebih bayar daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam masa dua hari selepas menghantar Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP), kata Ketua Pegawai Eksekutif/Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri Tan Sri Dr Mohd Shukor Mahfar.

Beliau berkata, bayaran balik cukai terlebih bayar kepada LHDN boleh dilakukan dalam masa dua hari jika segala maklumat yang diberikan adalah betul.

“Apabila maklumat yang diberikan betul kita akan proses dengan cepat. Tapi apabila hantar borang dengan maklumat yang tidak lengkap, ini akan menyebabkan LHDN makan masa untuk proses.

“Secara purata kalau hari ini hantar, esok proses, lusa dia (pembayar cukai) dapat (bayaran cukai terlebih bayar). Bagaimanapun, semua ini bergantung kepada jumlah BNCP yang diterima,” katanya ditanya mengenai tempoh pembayaran balik cukai terlebih bayar.

Beliau ditemui pemberita selepas menyampaikan ceramah umum bertajuk ‘Driven By Vision: Fuelled by Creativity and Innovation’ dalam program Ceramah Ketua Pegawai Eksekutif di Akademi Percukaian Malaysia di sini semalam.

Mohd Shukor berkata, dijangkakan empat juta pembayar cukai di negara ini menggunakan sistem e-Filing dan ia mewakili 70 peratus daripada keseluruhan pembayar cukai.

Kemudahan e-Filing adalah aplikasi percuma yang disediakan LHDN memudahkan pembayar cukai melengkap, mengira dan mengemukakan BNCP secara elektronik melalui Internet. -BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2015 @ 9:05 AM