Kajang: Tiga pekerja warga Bangladesh menjadi mangsa samun seorang penjenayah yang menyamar sebagai anggota polis dengan berkeliaran menaiki teksi.

Dalam kejadian jam 12.40 tengah hari kelmarin, tiga pekerja kontraktor terbabit dikatakan sedang berjalan menuju ke sebuah kedai serbaneka 24 jam berhampiran Wisma Tanjung Balai, Balakong di sini.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, suspek yang penumpang sebuah teksi tiba-tiba muncul dan menahan mangsa.

Menurutnya, suspek turun dari kenderaan sebelum memperkenalkan diri sebagai anggota polis.

“Suspek meminta semua mangsa menyerahkan dokumen pengenalan diri untuk pemeriksaan.

“Bagaimanapun seorang daripada pekerja warga Bangladesh melarikan diri kerana tidak membawa dokumen dan pas pekerja,” katanya.

Beliau berkata, dua lagi mangsa sebaliknya disamun menyebabkan wang tunai RM500 serta telefon bimbit dilarikan suspek.

Menurutnya, mangsa berusia 26 dan 41 tahun itu kemudiannya tampil membuat laporan di Balai Polis Komuniti Taming Jaya di sini, berhubung kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2015 @ 7:25 AM