Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pembayar cukai diminta tidak menunggu sehingga hari terakhir untuk menghantar Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) Tahun Taksiran 2014 bagi mengelakkan kesesakan sama ada di kaunter atau dalam talian.

Pegawai Perhubungan Awam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Masrun Maslim berkata, tarikh akhir untuk pengembalian borang BE (borang nyata individu pemastautin yang tidak menjalankan perniagaan) adalah pada 30 April ini manakala bagi mereka yang mempunyai perniagaan pada 30 Jun menerusi borang B.

Katanya, sehingga hari ini (semalam) LHDN menerima sebanyak 787,636 pelbagai jenis borang nyata menerusi kaedah e-filing dan daripada jumlah itu, 524,533 adalah untuk borang BE bagi tahun taksiran 2014.

“Ia menunjukkan jumlah penghantaran pelbagai borang menggunakan kaedah e-filing meningkat 18.5 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

“Selain itu, peratusan borang BE yang dihantar juga meningkat 11 peratus untuk tempoh yang sama.

“Jadi, kita nasihatkan orang ramai yang belum menghantar borang BNCP supaya segera berbuat demikian jika mereka inginkan pembayaran balik dilakukan secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Dalam pada itu, Masrun berkata, pembayar cukai individu juga digalakkan menghantar BNCP menggunakan telefon pintar menerusi kaedah m-filing.

Kata Masrun, kemudahan m-filing adalah antara kaedah alternatif bagi penghantaran BNCP diperkenalkan sejak tiga tahun lalu tetapi masih kurang mendapat sambutan.

Katanya konsep m-filing tidak jauh bezanya dengan e-filing kecuali bentuk borang yang dipaparkan mengikut aplikasi telefon pintar.

“Kaedah ini diperkenalkan kerana ia sesuai untuk mereka yang sentiasa sibuk dan bergerak dari satu tempat ke tempat lain tetapi khusus untuk borang BE saja iaitu borang individu yang bergaji.

“Namun, sehingga hari ini (semalam), sebanyak 665 borang saja diterima menerusi kaedah m-filing kerana ramai yang tidak sedar mengenai kemudahan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Masrun turut menasihatkan pembayar cukai supaya menyimpan dengan teliti semua resit berkaitan pembelian dan pelepasan cukai.

Katanya, jika ada perkara yang meragukan dalam borang yang dihantar pihak LHDN berhak untuk meminta balik semua resit dan bukti pembelian berkenaan.

“Semua resit berkenaan perlu disimpan sehingga tujuh tahun kerana dalam tempoh itu, ada kemungkinan ia perlu diserahkan kembali kepada pihak audit kami khususnya membabitkan borang yang meragukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2015 @ 5:34 AM