Oleh Siti A’isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my

Putrajaya: Skop pengenaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar sifar (tidak dikenakan GST) dan bekalan yang dikecualikan diperluaskan selaras dengan penelitian semula layanan GST ke atas beberapa barang dan perkhidmatan.

Kementerian Kewangan menerusi kenyataan dikeluarkan semalam, berkenaan GST pada kadar sifar ke atas buku tertentu antaranya buku latihan, kamus, buku teks, buku rujukan, buku latihan, kitab agama, akhbar termasuk e-akhbar, buku bergambar, lukisan, buku berwarna kanak-kanak yang diumumkan sebelum ini diperluaskan kepada semua jenis bahan bacaan termasuk akhbar.

“Tetapi, majalah dan buku lain yang bukan bahan bacaan akan dikenakan GST iaitu pada kadar enam peratus.

“Kerajaan berharap melalui pengumuman ini, semua bahan bacaan yang dikenakan GST pada kadar sifar tidak akan mengalami sebarang kenaikan harga seterusnya meningkatkan budaya membaca di kalangan rakyat,” katanya, semalam.

Menurut kenyataan itu juga, bilangan ubat yang tidak dikenakan GST di bawah Senarai Ubat-Ubatan Penting Nasional juga diperluaskan daripada 2,900 kepada 4,215 jenama ubat.

“Peluasan ini bagi memastikan ubat-ubatan di bawah senarai berkenaan dapat meliputi semua dos dan kaedah pengambilan.

“Kementerian Kewangan juga akan mengkaji cadangan Kementerian Kesihatan untuk memperluaskan lagi jenis ubat bagi penyakit tertentu untuk tidak dikenakan GST,” katanya.

Selain itu, yuran penyelenggaraan dan dana terikat yang dikecualikan daripada GST ke atas rumah kos rendah dan kos sederhana rendah diperluaskan meliputi semua jenis bangunan kediaman dipegang di bawah hak milik strata.

Katanya, kerajaan berharap langkah mengecualikan GST ke atas yuran penyelenggaraan dan dana terikat bagi semua jenis kediaman dipegang di bawah hak milik strata akan membantu badan pengurusan bersama dan perbadanan pengurusan serta pemilik bangunan dalam mengurus serta menyelenggara kediaman.

Berhubung perkhidmatan pendidikan dikecualikan daripada GST, ia diperluaskan meliputi pendidikan kemahiran disediakan penyedia latihan kemahiran yang menjalankan program dilulus dan ditauliahkan di bawah Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006 (Akta 652).

Menurut kenyataan itu, perkhidmatan kesihatan yang disediakan oleh kemudahan jagaan kesihatan seperti klinik, hospital, pusat rawatan dialisis dan seumpama dengannya yang didaftar atau dilesenkan di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 adalah dikecualikan daripada GST.

“Ini bermaksud hospital atau klinik tidak akan dikenakan GST ke atas perkhidmatan kesihatan yang diberikan kepada pesakit.

“Bagaimanapun, GST pada kadar enam peratus akan dikenakan ke atas caj rawatan atau perkhidmatan rundingan yang diberikan oleh doktor bebas didaftarkan sebagai kemudahan jagaan kesihatan.

“Pengenaan GST adalah tertakluk kepada doktor terbabit berdaftar di bawah GST,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2015 @ 9:42 AM