Kuala Lumpur: Seorang suami tergamak membelasah isterinya yang sedang mengandung menggunakan kayu hanya kerana mangsa meminta wang untuk pergi ke klinik.

Dalam kejadian jam 1.30 petang Isnin lalu, mangsa berusia 20-an itu dibelasah ketika berada di kediamannya di Jinjang di sini.

Sumber berkata, mangsa meminta wang daripada suaminya berusia 20-an untuk melakukan pemeriksaan kandungan anak mereka di klinik.

Menurutnya, suami mangsa memberitahu dia tiada wang kerana sudah digunakan untuk tujuan lain.

“Mangsa kemudian memberitahu mahu meminjam wang daripada abangnya menyebabkan lelaki itu mengamuk dan memaki hamunnya.

“Suspek yang gagal mengawal kemarahan menyerang mangsa dengan batang kayu. Mangsa dipukul di muka serta badan menyebabkan wanita itu mengerang kesakitan,” katanya.

Sumber berkata, suspek mengambil sebilah pisau dan cuba menikam mangsa menyebabkan mangsa ketakutan dan berlari keluar dari rumah.

“Mangsa kemudian ke rumah abangnya dan mengadu berhubung kejadian itu. Akibat kejadian itu, mangsa cedera teruk di muka dan lebam di badan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2015 @ 7:41 AM