Kajang: Tinggal di rumah sewa dan berulang-alik menaiki teksi untuk melakukan jenayah. Modus operandi itu dilakukan dua penjenayah yang gemar melakukan kes pecah kenderaan di tapak pasar malam.

Suspek lelaki warga Indonesia yang memasuki negara ini sebagai pelancong dikesan sudah melakukan sembilan kes pecah kenderaan di daerah ini sejak lebih sebulan lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, kedua-dua suspek berusia 20-an itu akan menaiki teksi dari rumah sewa mereka di Hentian Reko di sini, sebelum meminta pemandu teksi menghantar mereka ke tapak pasar malam berhampiran.

Menurutnya, suspek akhirnya berjaya dicekup polis ketika sedang ‘meninjau’ sasaran kereta seterusnya di tapak pasar malam Seksyen 1, Bandar Teknologi Kajang di sini, petang kelmarin.

“Suspek ditahan anggota Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Semenyih di sini, ketika ditemui dalam keadaan mencurigakan di pasar malam itu. Suspek dilihat leka meninjau kereta yang orang ramai yang berada di kawasan itu.

“Siasatan mendapati suspek baru sahaja memecah masuk sebuah kereta model Nissan Sylphy ketika pemiliknya pergi membeli barangan di pasar malam itu,” katanya.

Hasil pemeriksaan, pihak polis menemui satu telefon bimbit yang sudah dibuang sim kad oleh suspek.

Beliau berkata, hasil soal siasat dijalankan polis mendapati suspek mengaku melakukan sembilan kes pecah kenderaan di daerah ini.

“Setakat ini, suspek sudah menunjukkan dua lokasi sekitar Bandar Teknologi Kajang di sini yang dijadikan tempat mereka membuang sisa barangan selepas memecahkan kereta mangsa.

“Suspek turut mengaku, mereka kerap keluar masuk ke negara ini dan hampir setiap bulan mereka akan pulang ke Indonesia bersama hasil barangan dicuri,” katanya.

Ab Rashid berkata, berdasarkan maklumat itu pihaknya percaya suspek bergiat aktif melakukan kegiatan jenayah berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Beliau turut mengingatkan orang awam supaya tidak meninggalkan beg di dalam kenderaan ketika keluar berurusan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2015 @ 10:33 AM