ANGGOTA perubatan membantu lelaki Bangladesh yang parah ditikam di tapak projek.
Oleh Mohd Rizal Abdullah
mohd.rizal@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Seorang lelaki warga Bangladesh terpaksa menahan isi perut yang terkeluar dengan tangan selepas mangsa dirodok senjata tajam.

Dalam kejadian jam 3 petang kelmarin, mangsa seorang pekerja kontrak diserang seorang lelaki di tapak pembinaan di Jalan Dutamas 2, Persiaran Dutamas di sini.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy berkata, ketika kejadian mangsa berada di rumah kongsi sebelum didatangi suspek dipercayai warga Indonesia.

Menurutnya, suspek berusia 40-an itu muncul menaiki van putih bersama seorang lelaki dipercayai rakan kepada suspek.

“Suspek menikam mangsa dipercayai menggunakan senjata tajam,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Difahamkan kejadian itu menyebabkan isi perut mangsa hampir terburai.

Mangsa yang parah bagaimanapun masih sedarkan diri dan terus menutup lukanya dengan tangan bagi mengelakkan isu perut dan usus terkeluar.

Menurutnya, siasatan polis di lokasi kejadian tidak menemui sebarang senjata manakala motif kejadian juga masih dalam siasatan.

“Polis sedang meneruskan siasatan bagi memburu suspek. Berdasarkan keterangan mangsa, suspek berbadan gempal dan pendek,” katanya.

Difahamkan, mangsa terpaksa mengalami pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat kejadian itu, bagaimanapun mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil.

Beliau berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2015 @ 8:45 AM