Oleh Rosyahaida Abdullah
rosyahaida@hmetro.com.my

Putrajaya: Pelaburan dalam sektor pendidikan bukan saja menyokong pelaksanaan sistem ekonomi berasaskan pengetahuan (k-economy), malah menjadi elemen terpenting memacu pembangunan Malaysia pada masa depan.

Justeru, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) - PPPM (PT) 2015-2025 dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak 7 April ini langkah strategik melonjakkan lagi tahap pendidikan tinggi negara di mata global.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Datuk Dr Raduan Che Rose berkata, segala perincian PPPM (PT) selari hasrat negara dalam pelan pembangunan sebelum ini antaranya Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) pada 2006.

“Menerusi teras kedua RMK9, jelas dinyatakan keperluan meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara serta memupuk minda kelas pertama dan ini membuktikan perlunya sektor pendidikan diberi tumpuan,” katanya.

Menurutnya, PPPM (PT) memperincikan lagi Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) dan negara sememangnya berada di landasan betul dengan fokus untuk memperkasa sektor pendidikan tinggi.

“Misalnya, PSPTN menekankan keperluan pensyarah berkelayakan PhD dan kumpulan ini sudah mencecah 80 peratus di kebanyakan universiti dan tumpuan kini pensyarah yang mempunyai budaya akademik dan respons kepada keperluan industri dan masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan MPN Prof Datuk Dr Zakaria Kasa berkata, beliau tertarik dengan lonjakan pertama PPPM (PT) yang menumpukan kepada penghasilan pelajar bersifat holistik, keusahawanan dan seimbang.

“Antara penentu kejayaan pelajar bagaimana mereka berminat berusaha, mencari jalan untuk berjaya, berani mengambil risiko, mencari ilmu yang kemudian dipandu nilai tinggi dan inilah corak graduan yang ingin dihasilkan PPPM (PT),” katanya.

Dr Zakaria berpendapat negara tidak boleh lari daripada dua matlamat utama dalam membentuk agenda pendidikan tinggi.

“Pertama, melalui pendidikan tinggi negara, kita mampu membentuk ketamadunan manusia untuk kesejahteraan masyarakat.

“Kedua, pendidikan tinggi berupaya menjadikan negara lebih kompetitif serta berdaya saing,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Kluster Industri dan Inovasi Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Dr Kamal Harun berkata, penekanan kepada inovasi dalam lonjakan ketujuh PPPM (PT) strategi terbaik untuk memfokuskan bidang yang perlu diberi keutamaan.

“Semua pemain inovasi daripada pelbagai kementerian perlu diharmonikan.

“Pada pandangan MPN, tentunya kita boleh merujuk kembali 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang dikenal pasti sebagai bidang pemacu ekonomi masa depan,” katanya.

Beliau berkata, inovasi juga membawa kepada dua tujuan iaitu pembangunan ekonomi dan kesejahteraan yang diterjemahkan kepada pencapaian pengkomersialan dan keusahawanan sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2015 @ 10:23 AM