Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
azimfitri@mediaprima.com.my

Ampang: Seorang perompak menjadikan tandas di stesen minyak sebagai ‘perangkap’ untuk merompak mangsa yang berhenti untuk membuang air besar.

Suspek penagih dadah itu dikesan kerap muncul pada waktu malam di beberapa stesen minyak sekitar Pandan Jaya di sini.

Dalam kejadian terbaru jam 9 malam kelmarin, seorang mangsa lelaki dirompak ketika membuang air besar di tandas stesen minyak itu.

Sumber berkata, mangsa yang berada di dalam tandas didatangi suspek lelaki berusia 30-an yang turut mengekori mangsa masuk ke tandas.

Menurutnya, mangsa mulanya tidak mengesyaki perbuatan suspek kerana suspek tidak berperwatakan seperti seorang yang mencurigakan.

“Bagaimanapun suspek secara tiba-tiba mengacukan pisau lipat ke leher mangsa dan memintanya menyerahkan wang tunai.

“Mangsa yang panik dengan ancaman itu segera menyerahkan wang tunai miliknya berjumlah RM300. Sebaik menerima wang tunai itu, suspek segera melarikan diri,” katanya.

Menurutnya, mangsa kemudian meminta bantuan orang ramai sebelum membuat laporan polis.

Difahamkan suspek yang tinggal di kawasan itu kerap melakukan jenayah sama sebelum ini.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan suspek.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2015 @ 9:20 AM