Oleh Mohd Rizal Abdullah
mohd.rizal@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Seorang lelaki bertindak mengamuk dengan mencederakan dua pengawal keselamatan sebuah pangsapuri di Wangsa Maju, di sini, menggunakan pisau pemotong kertas.

Dalam kejadian jam 4.30 petang semalam, suspek berusia 42 tahun itu bertindak menyerang seorang pengawal keselamatan di pondok keselamatan di pangsapuri itu sebelum melarikan diri.

Tindakan suspek itu menyebabkan mangsa berusia 30-an luka dikelar pada belakang tubuh sebelum diberi bantuan anggota perubatan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM).

Difahamkan, suspek kemudian bertindak melarikan diri selepas menyerang mangsa.

Pemangku Ketua Polis Wangsa Maju Deputi Superintendan A Asmadi berkata, suspek yang tidak berpuas hati kemudian muncul semula di pondok keselamatan itu sekitar jam 6.30 petang dan cuba menyerang seorang lagi pengawal keselamatan warga asing menggunakan senjata sama.

Menurutnya, lelaki warga asing itu bagaimanapun bertindak melawan lelaki tersebut dan mengakibatkan suspek terjatuh ke dalam longkang dan cedera di kepala.

“Suspek dipercayai dalam keadaan mabuk ketika kejadian sebelum pihak JPAM menghantar suspek ke hospital.

“Berdasarkan maklumat, mangsa pertama cedera di bahagian pinggang kiri dan terpaksa menerima 12 jahitan,” katanya.

Menurutnya, mangsa dan suspek dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut seksyen 324 Kanun keseksaan dan suspek akan ditahan reman untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2015 @ 9:30 AM