Oleh Faizul Azlan Razak
am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyifatkan gaji RM400 sebulan yang diterima pembantu pemaju masyarakat sukarela Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di seluruh negara dikatakan tidak sesuai.

Sehubungan itu, mereka meminta kerajaan mengkaji semula skim gaji kepada golongan terbabit sekurang-kurangnya dibayar gaji minimum seperti mana yang diterima sektor awam RM900 sebulan.

Presiden CUEPACS Datuk Azih Muda berkata, pihaknya berasakan bayaran gaji RM400 sebulan yang diterima 4,000 pembantu pemaju masyarakat sukarela KEMAS tidak relevan pada masa ini.

Menurutnya, pihaknya menyarankan kerajaan melihat semula gaji mereka berikutan gaji minimum sektor swasta sekarang RM900 sebulan.

“Kalaulah gaji RM400 sebulan, mahu makan apa?. Mereka fokus bekerja di bawah KEMAS sepanjang bulan dan saya difahamkan mereka bukan hanya bekerja dari jam 8 pagi hingga 3 petang, malah hingga ke malam.

“Justeru, kami meminta kerajaan mengkaji beban kerja yang mereka lakukan dengan gaji sangat rendah,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mampu Milik Taman Hamparan Permai di Kampung Batu Hampar, Manir, di sini, yang disempurnakan Ahli Parlimen Hulu Terengganu Datuk Jailani Johari, semalam.

Menurutnya, pihaknya melihat kerajaan prihatin kepada kehidupan rakyat terutama kakitangan separa kerajaan dan menyeru skim gaji pembantu pemaju masyarakat sukarela KEMAS dikaji semula.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2015 @ 9:18 AM