Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my

Putrajaya: Akibat terlalu taasub dengan kumpulan militan Negara Islam (IS) seorang wanita sanggup meninggalkan bayi kembar yang berusia dua bulan dan masih menyusu badan untuk ke Syria kononnya untuk berjihad.

Lebih malang lagi, wanita itu turut meminta ibu mentuanya membuang bayi perempuan itu ke dalam sungai bagi memudahkannya meneruskan jihad.

Mendedahkan perkara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, wanita berkenaan seorang daripada isteri suspek anggota kumpulan IS yang ditahan selepas pulang ke tanah air baru-baru ini.

“Apabila kita menangkap suaminya, dia melarikan diri dan meninggalkan anak kembar perempuan berusia dua bulan yang masih menyusu badan kepada ibu mentuanya, selain meminta membuangnya ke dalam sungai ketika ditanya bagaimana hendak menyusukan bayi kecil itu.

“Kalau seorang emak boleh bercakap macam itu mengenai anak dia, di mana nilainya... anak pun oleh ditinggalkan macam itu sahaja, itu yang ekstremenya fahaman ini.... pertama kali saya jumpa kes macam ini,” katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk ‘IS dan Ancamannya’ dalam program Halaqah Bicara Wasatiyyah anjuran Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM) di sini, semalam.

Turut hadir Penasihat Agama Perdana Menteri merangkap Pengerusi IWM Tan Sri Dr Abdullah Md Zin.

Ayob Khan berkata, itu antara contoh ketaasuban rakyat negara ini terhadap IS sehingga sanggup meminggirkan ahli keluarga sendiri.

Beliau tidak menolak kemungkinan kanak-kanak Malaysia mengikut ibu bapa ke Syria untuk menyertai IS turut terbabit kumpulan pengganas itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2015 @ 5:59 AM