Oleh Farah Suhaidah Othman
am@hmetro.com.my

Ipoh: “Saya berharap isu Datuk Mohamad Kazim Elias tidak dijadikan polemik besar dan dapat diselesaikan dengan baik,” kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Pendakwah bebas itu yang lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim sudah memaklumkan kepadanya bahawa teguran diutarakan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria yang menyifatkan ceramah jenakanya sebagai ‘penglipur lara’, diterima dengan hati terbuka.

Zambry berkata, masyarakat perlu melihat pelbagai aspek untuk memberi penilaian terhadap Ustaz Kazim kerana setiap pendakwah mempunyai cara berbeza menyampaikan dakwah dan paling penting mesej yang disampaikan, difahami semua lapisan masyarakat.

“Masyarakat hari ini berada dalam tahap membimbangkan kerana pembabitan anak muda dalam masalah jenayah dan sosial semakin parah, jadi kita memerlukan pendakwah seperti Kazim untuk memainkan peranannya menyampaikan dakwah,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mohamad Kazim yang mahu menarik diri daripada terus menyampaikan ceramah berikutan beberapa isu membabitkannya.

Ustaz Kazim tidak perlu mengambil keputusan berhenti berdakwah kerana kelebihan caranya berdakwah mampu menarik perhatian pelbagai lapisan masyarakat terutama golongan muda.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2015 @ 5:51 AM