TENGKU Adnan (tengah) bersama Adnan (kiri) dan Dr Loga.

Kuala Lumpur: Kementerian Wilayah Persekutuan akan menyelaraskan semula semua kemudahan untuk orang kurang upaya (OKU) di sekitar Brickfields yang sebahagiannya rosak akibat pembangunan di kawasan terbabit.

Menterinya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, kementeriannya sentiasa memberi keutamaan kepada warga OKU di kawasan terbabit dan berusaha menyediakan infrastruktur lengkap untuk digunakan oleh mereka.

“Pada awalnya memang kita sudah letakkan banyak kemudahan di Brickfields, tetapi sekarang ini berlaku banyak pembangunan.

“Apabila berlaku banyak pembangunan, ada benda yang sudah dirosakkan. Kita akan selaraskan semula seperti dikehendaki oleh warga OKU.

“Memang pelbagai kemudahan yang kita berikan dan kementerian sentiasa membantu,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Sesi ‘Town Hall’ Parlimen Bukit Bintang, semalam.

Hadir sama Timbalannya Datuk Dr Loga Bala Mohan serta Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Datuk Seri Adnan Md Ikhsan.

Terdahulu, beberapa wakil daripada OKU cacat penglihatan mengemukakan cadangan dalam sesi berkenaan antaranya termasuk menyarankan supaya Brickfields digazetkan sebagai Bandar Orang Buta atau ‘Blind City’.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mac 2015 @ 5:09 AM