DARI kiri, Yap Quan You, Thun Chiean Tien, Kok Shew Juan danG Raveen gembira mendapat keputusan semua A bagi semua mata pelajaran dalam Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) di Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB), Johor Bahru.

Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang diterapkan secara intensif dalam Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) tahun lalu memberi impak positif kepada perkembangan dan persediaan pelajar menghadapi sesi pembelajaran berikutnya.

Walaupun dianggap amat sukar berbanding soalan yang dibentuk untuk Penilaian Menengah Rendah (PMR) sebelum ini, format PT3 mendorong pelajar meningkatkan usaha menambah ilmu di luar bilik darjah.

Buktinya, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Chukai, Kemaman, Terengganu, Izzah Fatini Dzulkifli, 16, mengakui lebih mudah memahami ilmu disampaikan guru terutama bagi mata pelajaran Sains dan Matematik sebaik memasuki Tingkatan Empat.

Memperoleh gred B bagi dua mata pelajaran itu pada pentaksiran pusat PT3 tahun lalu, Izzah Fatini berkata, soalan yang dikemukakan benar-benar menguji mindanya melangkaui ilmu dalam buku teks.

“Semua 10 mata pelajaran termasuk lisan Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris saya dapat A kecuali Sains dan Matematik. Namun, saya tetap syukur dan lega kerana subjek seperti Fizik, misalnya lebih mudah untuk saya disebabkan saya sudah terdedah dengan KBAT ketika PT3 dulu,” katanya.

Ibunya, Nor Faridah Zainal, 42, berkata dia tetap bangga dengan pencapaian anaknya kerana sedar soalan seumpama itu menjadikan Izzah Fatini lebih banyak mengulangkaji di rumah.

“Mengenalinya sejak kecil, dia memang gemar membaca, namun kebelakangan ini saya dapati dia juga kerap buat latihan. Kini, apabila berbual, dia cenderung kongsi idea yang pada saya lebih ke hadapan bagi remaja seusianya,” katanya.

Bagi Wong Shuu Shing, 49, soalan PT3 menjadikan anaknya berfikir secara lebih kritis dan kreatif, bukan sekadar mengulangkaji pelajaran berpandukan buku semata-mata.

“Menurut anak saya (Yap Quan You, 16), soalan PT3 sangat susah, namun mengejutkan juga apabila dia berjaya memperoleh 8A ketika mengambil keputusan.

“Anak mengakui Internet dan persekitaran banyak membantunya menjawab soalan dan bukan bergantung kepada pembelajaran dalam kelas serta buku saja,” katanya.

Wong berkata, tahun ini giliran anak bongsunya pula, Yap Quan Yei, 15, menduduki peperiksaan berkenaan dan dia selalu mengingatkan Quan Yei untuk fokus dalam kelas, banyakkan membaca dan kerap ulangkaji.

“Saya yakin setiap pelajar termasuk anak saya sendiri berupaya berfikir seperti seorang mahasiswa menerusi soalan KBAT yang terkandung dalam PT3 yang secara tidak langsung menjadikan mereka lebih berdaya saing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mac 2015 @ 6:06 AM