Oleh Muhd Izawan Baharin

Kuala Lumpur: Penjual rokok seludup melakukan kesilapan apabila menyangka penguat kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) tidak menjalankan sebarang operasi sepanjang cuti Tahun Baru Cina apabila tiga lelaki ditahan di Taman Seri Sentosa, Jalan Klang Lama, di sini, bulan lalu.

Dalam operasi 23 Februari lalu itu, penguat kuasa JKDM menahan tiga lelaki menerusi operasi khas sebagai Op Blitz dilakukan pada waktu malam ketika urusan jual beli rokok seludup seperti John memuncak.

Operasi itu dilakukan susulan kejayaan Op Blitz di Perai, Pulau Pinang awal bulan lalu.

Op Blitz bermatlamat menyekat rangkaian bekalan rokok seludup seperti John dengan menyasarkan lokasi 'panas' di seluruh negara.

JKDM terus komited untuk membasmi penjualan rokok seludup menerusi serbuan di lokasi 'panas' secara berterusan dengan mengheret mereka yang terbabit dengan urusan jual beli barang larangan ke mahkamah dan memastikan pesalah dikenakan hukuman setimpal seperti penjara, denda dan harta disita.

Ini berikutan, rokok seludup lebih berbahaya terhadap kesihatan berdasarkan kajian Universiti Malaya (UM) mendapati kandungan tar dan nikotin tiga kali lebih tinggi daripada dibenarkan Kementerian Kesihatan.

Kajian dilakukan terhadap rokok seludup berjenama Surya Gudang Garam, Sempoerna, L A Lights dan Nusantara Menthol mendapati kandungan kimia terlalu tinggi menyebabkan perokok lebih ketagih serta semakin sukar menghentikan tabiat itu.

Kes mahkamah terbaru di Pahang pada 18 Februari lalu, seorang peruncit warga asing dipenjara 10 bulan kerana memiliki 1,620 paket rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM2,990.40.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2015 @ 4:41 PM