ANGGOTA kastam menunjukkan bahan bukti yang dibawa ke Mahkamah Majistret Kuantan.
Shamsul Munir Safini dan Muhamaad Razis Ismail
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Padah memiliki rokok seludup, seramai 10 peruncit dijatuhkan hukuman penjara dalam prosiding berasingan sepanjang tempoh awal bulan ini masing-masing di Kuantan, Pahang, Gua Musang dan Bachok di Kelantan dan Kangar, Perlis.

Di Kuantan, empat individu termasuk seorang suri rumah dipenjara antara lima hingga 13 hari serta didenda sehingga RM3,200 oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan memiliki rokok seludup membabitkan nilai RM1,050.32.

Mereka membuat pengakuan itu ketika dihadapkan dalam dua prosiding berasingan di depan Majistret Noor Aisah Mohamed dan Majistret Noor Zaihan Mohamad Ali.

Peniaga, Nik Dir Ibrahim, 52, dipenjara lima hari mulai semalam dan denda RM3,200 selepas mengaku bersalah memiliki 192 peket rokok seludup bernilai RM310.24.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Suri rumah, Sharimah Sulaiman, 39, pula dipenjara 13 hari mulai tarikh tangkap selepas mengaku bersalah memiliki 210 peket rokok seludup bernilai RM348.64.

Pada prosiding berasingan, penjaja, Abdul Hadi Saidi, 24, dipenjara 12 hari mulai tarikh tangkap dan didenda RM1,464 kerana memiliki 90 peket rokok seludup bernilai RM146.40.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda.

Seorang lagi penjaja, Azrill Akmal Mat Kamari, 26, dipenjara 12 hari mulai tarikh tangkap dan didenda RM2,450.40.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara empat bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut kertas pertuduhan, semua tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sekitar Jalan Pasar Baru 1 dan Jalan Pasar Baru 2, Pasar Besar Kuantan, di sini, antara jam 9. 20 dan jam 9.25 malam, pada 1 Mac lalu.

Di Gua Musang, seorang peniaga kedai runcit didenda RM5,000 dan penjara sehari oleh Mahkamah Majistret terhadap tuduhan memiliki 22 karton rokok seludup, dua tahun lalu.

Majistret Mohd Izzudin Mohd Shukri menjatuhkan hukuman itu selepas Mohamad Zubir Omar, 52, mengaku bersalah terhadap pertuduhan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh yang berasal dari Ketereh dipenjara enam bulan sekiranya gagal menjelaskan denda.

Di Bachok, seorang wanita yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret, kelmarin, dipenjara sehari dan denda RM1,200 selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan memiliki rokok seludup bernilai RM87.86.

Majistret Mohd Firdaus Zainal Abidin menjatuhkan hukuman itu dan memerintahkan tertuduh, Hasanah Said, 34, dipenjara lapan bulan sekiranya gagal menjelaskan denda.

Sementara itu antara 10 Mac hingga semalam di Mahkamah Majistret Kangar, empat individu dipenjarakan dan seorang lagi didenda RM3,000 selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan memiliki rokok seludup membabitkan nilai keseluruhan RM3,759.24 manakala sebuah kereta Proton Iswara Aeroback turut disita.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2015 @ 9:26 AM