Putrajaya: Program latihan dan bimbingan berterusan (hand holding) akan dilaksanakan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JDKM) untuk memastikan peniaga dapat bersedia menghadapi pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), 1 April ini.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hazadzlah berkata, sehingga kini sebanyak 350,054 syarikat sudah berdaftar untuk pelaksanaan GST.

“Sehingga Februari lalu, sebanyak 6,443 program latihan yang dihadiri 616,000 peniaga sudah dijalankan.

“Malah, sebanyak 330 program bimbingan berterusan juga sudah dijalankan bagi membantu peniaga memahami keperluan undang-undang dan mendapatkan pelbagai maklumat terkini mengenai GST,”katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Ahmad Husni berkata, selain daripada 72 panduan yang sudah diterbitkan JDKM juga turut menyediakan soalan kerap ditanya (FAQ) dan isu kerap ditanya (FAI) dalam membantu peniaga mendapat maklumat dan keputusan terkini terutama berkaitan isu teknikal.

Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan juga akan memastikan pengguna mendapat maklumat lengkap mengenai GST, sekali gus mengelakkan pihak tertentu yang cuba mengambil kesempatan terutama berkaitan dengan harga barang dan perkhidmatan.

Menurutnya, pada 2 Januari lalu, JDKM menerbitkan buku Barang Serbeneka yang menyenaraikan barang yang dikenakan GST pada kadar sifar atau enam peratus untuk rujukan pengguna.

Katanya, semua maklumat ini boleh didapati dengan melayari laman web www.gst.customs.gov.my.

“Selain itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) juga sudah menerbitkan Panduan Harga yang dapat membantu pengguna membuat perbandingan harga barangan sebelum dan selepas pelaksanaan GST,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2015 @ 9:41 AM