Hulwati (kanan) menyampaikan sumbangan ketika mengunjungi keluarga Roslina, semalam.
Oleh Jauhariatul Akmal Johar
am@hmetro.com.my

Rantau Panjang: Kepayahan empat beradik menjaga ibu mereka, Roslina Othman, 43, yang menghidap kanser payudara hingga terpaksa bergilir-gilir ponteng sekolah mendapat perhatian beberapa pihak.

Keluarga itu turut menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang mengesahkan Roslina layak menerima skim bantuan pesakit terlantar berjumlah RM300 sebulan berkuat kuasa April depan.

Berita gembira itu disampaikan sendiri Pegawai JKM Pasir Mas Hulwati Mohammad yang mengunjungi keluarga itu di Kampung Kubang Keladi, Gual Sitok, di sini, semalam.

Roslina berkata, dia tidak menyangka kisah hidupnya dan keluarga mendapat perhatian pelbagai pihak selepas disiarkan Harian Metro dan mengucapkan terima kasih di atas sumbangan diberikan.

“Saya bukan mahu menagih simpati sesiapa, tetapi apa yang tersiar dalam Harian Metro itulah yang kami lalui dan terharu apabila ramai prihatin dengan nasib kami serta menghulurkan bantuan.

“Tidak tergambar betapa gembiranya saya dan hanya doa yang mampu saya panjatkan supaya setiap pertolongan mereka dibalas Allah SWT. Terima kasih semuanya,” katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mac 2015 @ 8:55 AM