PASUKAN aerobatik Al Fursan dari Emiriah Arab Bersatu membuat pertunjukan udara.
Oleh Hamzah Osman
am@hmetro.com.my


Langkawi: Kemunculan sulung tiga pasukan aerobatik terkenal dunia bakal memeriahkan pertunjukan udara sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2015 (LIMA 15) dari 17 hingga 21 Mac ini.

Pasukan August 1 dari China, Al Fursan (Emiriah Arab Bersatu) dan Black Knights (Singapura) mengesahkan untuk beraksi di ruang angkasa Langkawi sepanjang pameran itu berlangsung.

Menurut laman web rasmi LIMA 15, pertunjukan udara itu turut menyaksikan penampilan semula pasukan Russian Knights dari Rusia dan Jupiter Aerobatic Team (Indonesia).

Meneliti senarai mendapati pasukan Smokey Bandit dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tidak disenaraikan kali ini.

Sebagai ganti, juruterbang jet pejuang TUDM akan terus menggegarkan ruang angkasa Langkawi menerusi lima pesawat Sukhoi SU-30MKM termasuk dua daripadanya akan membuat pertunjukan solo.

Tidak ketinggalan dua pesawat F/A-18D Hornet dan lima HAWK 108/208, selain penampilan sulung pesawat kargo strategik Airbus A-400M Atlas yang baru saja menyertai TUDM.

Selain itu, turut disenaraikan ialah pertunjukan udara solo membabitkan jet tempur Dassault Rafale dari Tentera Udara Perancis, F-16 Fighting Falcon (Tentera Udara Amerika Syarikat), pesawat latihan MB-339CM dan Eurocopter EC725 (TUDM).

Kemunculan kali ketiga pasukan aerobatik nasional, Aerotree Kriss Sakti menerusi empat pesawat berkipas Extra 300L dijangka terus memukau penonton yang membanjiri Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini.

Kriss Sakti diketuai bekas juruterbang tempur TUDM Datuk Halim Othman atau dikenali ‘Toogo’ juga juruterbang tunggal negara yang menyertai Piala Cabaran Perlumbaan Udara Red Bull tahun lalu.

LIMA 15 dianjurkan oleh HW Lima Exhibitons (HW Lima) dan diiktiraf sebagai pameran udara terbaik di Asia Pasifik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mac 2015 @ 7:44 AM