Johor Bahru: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjalin kerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk menghasilkan Kamus Dewan Braille Elektronik (Kamus Dewan eBraille) khusus bagi golongan cacat penglihatan.

Projek itu bermula sejak 2009 dan dijalankan sekumpulan penyelidik dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal.

Naib Canselor UTM Prof Datuk Dr Wahid Omar berkata, projek itu diketuai oleh Prof Madya Dr Mohamed Hussein dan dilaksanakan menerusi dana yang disalurkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita dan Pembangunan Masyarakat (KPWKM).

“Projek ini dilaksanakan berikutan permintaan tinggi daripada golongan cacat penglihatan ketika mempromosikan al-Quran Braille sebelum ini.

“Prihatin dengan kehendak mereka, UTM menggunakan dana daripada KPWKM untuk menghasilkan panel eBraille elektronik yang membolehkan golongan berkenaan membaca.

“Kumpulan penyelidik terbabit akan melakukan transformasi 65 jilid kamus DBP cetakan timbul menjadi buku elektronik yang berbentuk seakan-akan pemacu pena komputer. Sebanyak RM200,000 hingga RM300,000 diperlukan bagi tujuan itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mac 2015 @ 7:44 AM