KEADAAN motosikal ditunggangi Mohammad Fikry (gambar kecil) yang maut merempuh belakang lori di Kilometer 35, Jalan Sabak Bernam-Teluk Intan.
Oleh Mohd Shukor Amin
hmetroshahalam@hmetro.com.my

Sabak Bernam: “Sebelum kejadian, arwah ada minta RM2 untuk pergi ke pasar malam dan saya tidak menyangka itu adalah permintaan dan pertemuan terakhir kami sebelum dia terbabit dalam kemalangan,” luah Norazizah Jamil, 47, ibu kepada seorang remaja lelaki yang maut selepas terbabit dalam kemalangan, malam kelmarin.

Mohammad Fikry Abd Nassir, 17, yang juga orang kurang upaya (OKU) maut selepas motosikal yang ditungganginya merempuh belakang sebuah kenderaan dipercayai lori di Kilometer 35, Jalan Sabak Bernam-Teluk Intan berhampiran Taman Fery, di sini, jam 10 malam.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala serta beberapa bahagian badan akibat rempuhan itu.

Norazizah berkata, berita mengenai kemalangan yang menimpa anak lelakinya itu begitu mengejutkan mereka sekeluarga kerana pagi kejadian arwah begitu ceria kerana menghadiri majlis persaraan pengetua Sekolah Menengah Tunku Abdul Rahman Putera (STARP), di sini, tempat mangsa bersekolah.

“Arwah begitu ceria menceritakan kemeriahan majlis berkenaan dan dia turut menerima cenderamata dalam majlis berkenaan.

“Namun keletah arwah yang periang dan menghormati orang tua kini hanya tinggal kenangan,” katanya ketika ditemui di Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ), di sini, malam kelmarin.

Katanya, jenazah anaknya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tanjung Jawa, di sini, selepas bedah siasat selesai dijalankan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Nor Azmi Isa berkata, dalam kejadian itu mangsa menunggang motosikal dari arah pekan Sabak Bernam dipercayai menuju ke rumah datuknya sebelum merempuh belakang kenderaan lain dipercayai sebuah lori.

“Kemalangan yang berlaku ketika hujan lebat mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan mayatnya dihantar ke HTAJ untuk bedah siasat,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang menyaksikan kemalangan itu diminta menghubungi polis bagi membantu siasatan serta mengesan pemandu kenderaan yang terbabit dan kes disiasat mengikut seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mac 2015 @ 5:15 AM